Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pengamal media dalam negara akan terus bebas melaporkan berita selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dalam era teknologi maklumat abad ke-21, media bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus malah dalam masa yang sama melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu.

Jelas beliau, ini kerana penularan maklumat palsu pada akhirnya akan mengakibatkan kestabilan dan keharmonian negara tergugat.

“Kerajaan juga sentiasa bersikap terbuka untuk menerima apa juga pandangan serta maklumbalas demi kebaikan yang mengutamakan rakyat. Di kesempatan ini saya memberi jaminan kerajaan akan terus menyediakan rang yang seluas-luasnya kepada pihak media untuk melaporkan berita selari dengan peruntukan sedia ada di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya lagi, kerajaan sentiasa komited dalam menyokong dan menegakkan kebebasan media di negara ini.

Pendirian itu, kata Saifuddin, telah dinyatakan dengan jelas dan mengiktiraf peranan penting para pengamal media dalam menjalankan fungsi dan menunaikan tanggungjawab mereka terutama dalam menangani penyebaran maklumat palsu.

“Ketika kita sedang berjuang menghentikan pandemik Covid-19, kerajaan di serata dunia juga berhadapan dengan cabaran menangani penyebaran maklumat palsu dan memastikan berita serta informasi yang sahih dan tepat disalurkan kepada rakyat.

“Perkara ini amat penting terutamanya bagi usaha menyelamatkan nyawa dan menjaga keselamatan sejagat dalam krisis kesihatan yang melanda ini.

“Justeru, penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 mulai 12 Mac 2021 adalah khusus bagi menangani maklumat tidak benar berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat,” jelasnya.

Namun, ujarnya, mencegah penyebaran maklumat palsu bukan bermakna kebebasan media disekat oleh kerajaan.

Sebaliknya, tambah Saifuddin, media di negara ini telah lama menjalin usaha sama dengan kerajaan dan sentiasa proaktif membantu menyangkal maklumat palsu.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap indeks Kebebasan Media 2021 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (Reporters Sans Frontliners, RSF) pada 17 April 2021 di mana Malaysia mencatat kedudukan ke-119, baru-baru ini.-Malaysiagazette