U-Wei Saari.

KUALA LUMPUR – Pengarah prolifik, U-Wei Saari meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menjelaskan filem kenegaraan Wangi Jadi Saksi yang dibentangkan bagi tujuan ‘pitching’ dana filem kenegaraan tidak diluluskan agensi itu.

Menerusi surat terbuka yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri antara lain menuntut penjelasan beliau berhubung isu berkenaan.

“Saya memohon melalui (filem) Wangi Jadi Saksi. ‘Pitching’ pada 16 Mac secara maya menggunakan aplikasi Zoom pada jam 3 petang berjalan lancar.

“Hadir bagi pihak kami adalah saya, Datuk Azmir Saifuddin dan Azman Azahar. Dari Finas adalah Mohd Fazli Abdul Aziz dengan dua ahli akademik iaitu seorang profesor dan doktor.

“Mereka hanya menunjukkan ibu jari sebagai semuanya baik.

“Saya tekankan di sini mereka dipilih Finas ini adalah pakar yang dipercayai. Orang ilmuwan yang saya hormati,” katanya dalam kenyataan.

Melalui surat itu, U-Wei mendakwa berita penolakan tanpa alasan ke atas filem Wangi Jadi Saksi daripada menerima dana projek filem kenegaraan disampaikan penerbitnya, Azmir.

“Ingin dinyatakan bahawa surat rasmi penolakan dinyatakan melalui e-mail di bawah tajuk Keputusan Permohonan Dana Kandungan Digital dan tidak ada menyebut filem kenegaraan,” katanya.

Pengarah filem Kaki Bakar itu mendakwa Ahmad Idham tahu mengenai keputusan penolakan filem Wangi Jadi Saksi daripada menerima dana berdasarkan maklumat sumber yang menyebut ‘keputusan dari atas’, seperti yang dinyatakan dalam surat terbuka berkenaan.

Melalui surat terbuka itu, U-Wei berharap perasaan prejudis Ahmad Idham jika ada, tidaklah digunakan untuk mempengaruhi keputusan terhadap permohonan filem Wangi Jadi Saksi mendapatkan dana filem kenegaraan.

“Jika saudara sebagai Ketua Pengarah Finas (Ketua Pegawai Eksekutif) ikut serta dalam pemilihan dan penentuan projek yang patut diluluskan atau tidak dan menggunakan kuasa veto dalam menentukan nasib permohonan saya, saudara sudah menghina kebijaksanaan panel yang dilantik Finas,” dakwanya. – MalaysiaGazette