KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada dua kadet dari Malaysia, Mohamad Khairel Adha Mohad Khairee dan Nicholas Ong Yong Xen, atas kejayaan mereka berdua dipilih memasuki Akademi Tentera Amerika Syarikat pada tahun ini.

Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan mereka berdua dipilih daripada calon seluruh dunia yang bersaing untuk mendapatkan tempat dalam akademi tersebut.

Kejayaan ini juga membuktikan lagi bahawa kita mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Baginda juga menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang masing-masing.

”Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Mohamad Khairel Adha dan Nicholas Ong Yong Xen dalam menimba ilmu dan pengalaman seumur hidup ini di akademi tersebut.

”Seri Paduka Baginda mendoakan semoga mereka berdua dilimpahi kejayaan cemerlang dan menggunakan pengalaman serta ilmu yang diperolehi di akademi tersebut untuk berbakti kepada negara yang kita cintai bersama ini,” titah baginda.

Kedutaan Amerika Syarikat pada hari Rabu lalu telah mengumumkan kejayaan Mohamad Khairel Adha dan Nicholas Ong Yong Xen dipilih memasuki akademi tersebut pada tahun ini.

Mohamad Khairel Adha akan memasuki Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat dan Nicholas Ong Yong Xen pula di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kedutaan Amerika Syarikat turut mengumumkan bahawa sebuah majlis keberangkatan untuk kedua kadet tersebut akan diadakan secara langsung menerusi laman Facebook kedutaan (https://www.facebook.com/usembassykl/) pada 9 Jun bermula pukul 9 pagi.