Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia menggesa siasatan dilakukan ke atas dalang di sebalik penyiaran artikel dalam sebuah portal yang disifatkan mencemar dan mencalar nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, artikel itu yang mendakwa ada usaha campur tangan Menteri KDN dalam pelantikan jawatan tertinggi PDRM yang makin mengeruhkan perspektif masyarakat terhadap pihak berkuasa keselamatan itu.

Kata beliau, pendedahan dan kenyataan itu boleh ditakrif sebagai dakwaan semata-mata, tetapi Wira Putra berpendapat kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

“Oleh itu, kita gesa polis menyiasat siapa dalang di sebalik penulisan kenyataan dalam portal berkenaan.

“Sekiranya ia fitnah, Datuk Hamzah Zainuddin selaku menteri perlu menafikan dan segera mengambil tindakan tegas kerana kenyataan itu mencemar nama baik serta mecalar integriti KDN dan PDRM.

“Bagaimanapun, Wira Putra dengan rendah hati mohon ampun perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan sewajarnya sesiapa juga yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

“Calon itu mesti dari kalangan tokoh pemimpin PDRM yang bebas, bersih dan berintegriti. Ini sesuai dengan PDRM sebagai badan penguatkuasaan yang bebas dari sebarang agenda politik dan pengaruh luar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Nasrul Ali Hasan berkata, sebarang kesilapan dalam pelantikan akan memberi kesan negatif serta mencalar imej PDRM dan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, jika hal yang dinyatakan dalam artikel itu benar, kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sehari sebelum penamatan khidmatnya tempoh hari juga perlu diambil kira.

Ini menunjukkan penyalahgunaan kuasa berulang kali oleh orang yang sama selaku Menteri KDN dan wajar diambil tindakan, sama ada dipecat atau dipindahkan ke kementerian lain.

“Rakyat tidak mahu diwakili pemimpin yang mengkhianati kuasa diamanahkan berulang kali sama ada demi kepentingan politik ataupun agenda peribadi tanpa dikenakan sebarang tindakan tatatertib atas segala kesalahan yang dilakukan.

“Hentikan sikap double standard golongan kayangan untuk menjadikan Malaysia lebih baik pada masa depan.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu dilakukan dan sekurang-kurangnya ringkasan laporan siasatan diumum kepada rakyat bagi memulihkan kembali imej PDRM,” ujarnya. – MalaysiaGazette