Pusat penyejukan menjadi tumpuan orang ramai daripada cuaca panas. foto Agensi

OTTAWA – Gelombang panas terik telah melanda sebahagian besar barat laut pasifik Amerika Syarikat dan Kanada.

Perkhidmatan Cuaca Nasional AS (NWS) telah mengeluarkan amaran dan memantau cuaca panas di hampir seluruh wilayah Washington dan Oregon.

Sebahagian California dan Idaho juga terjejas.

Daerah Multnomah, di Oregon telah memberi amaran cuaca panas akan “mengancam nyawa”.

Beberapa bandar telah membuka pusat penyejukan, yang mana penduduk dapat ‘menyelamatkan’ diri daripada panas di bangunan berhawa dingin.

Pakar-pakar memaklumkan perubahan iklim dijangka terus meningkatkan kekerapan kejadian cuaca yang melampau, seperti gelombang panas, namun menghubungkan setiap peristiwa dengan pemanasan global adalah rumit.

Seiring perubahan iklim, mungkin ada peningkatan jumlah kematian akibat banjir, ribut dan gelombang panas, kata para pakar.

NWS berkata, suhu yang lebih panas diramalkan pada hari Ahad dan Isnin di seluruh Pasifik Northwest dan Northern Great Basin.

Ia memberi amaran tentang “beberapa hari lagi suhu panas berbahaya di barat laut negara ini serta bahagian barat Nevada dan California.

Meskipun amaran telah dikeluarkan, orang ramai terus menikmati cahaya matahari di kawasan tasik dan kolam-kolam.

Suhu dijangka melambung di atas purata 20 – 30F di Washington dan Oregon.

Seattle dan Portland dijangka memecahkan rekod suhu tinggi sepanjang masa pada hari Ahad dan Isnin.

Pada hari Sabtu, suhu di Seattle mencapai 101F menjadikannya hari pada bulan Jun yang paling panas di sana.

Penduduk diminta untuk mengelakkan berada di luar rumah dalam jangka masa yang lama, kekal hidrasi dan membantu memantau anggota keluarga/jiran yang terdedah,” kata NWS.

Di kedai-kedai pula, alat penyaman udara dan kipas habis terjual.

Manakala di British Columbia, Kanada merekodkan suhu paling panas pada hari Sabtu iaitu 43.2C.

Sebahagian daripada Saskatchewan, Alberta dan wilayah barat Laut berada di bawah amaran panas.

Panas di sana juga dijangka berterusan sepanjang minggu. – MalaysiaGazette