Presiden China, Xi Jinping

BEIJING – China berjaya mewujudkan masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh menerusi perjuangan berterusan Parti Komunis China (PKC) dan segenap lapisan rakyat.

Perkara itu diumumkan Presiden China, Xi Jinping, merangkap Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-100 PKC di Lapangan Tian’anmen, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, China kini sedang mengorak langkah ke arah merealisasikan matlamat membangunkan negara sosialis moden yang kuat.

Dalam pada itu, Xi mengulangi komitmen China untuk terus menempuh jalan pembangunan secara damai, di samping menggalakkan pembentukan hubungan antarabangsa model baharu dan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

China juga beriltizam mendorong pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan menyediakan peluang baharu kepada dunia melalui pembangunan sendiri.

Beliau turut menekankan bahawa China sentiasa berperanan sebagai pembina kedamaian dunia, penyumbang pembangunan global, dan penjaga orde antarabangsa.

Selain itu, China berpegang teguh kepada pendekatan kerjasama, keterbukaan dan saling untung.- BERNAMA