Klinik SPCare lancar ‘food bank’ dan edar bakul makanan kepada golongan terjejas musim PKP.

RAWANG – SPCare Group melancarkan food bank yang menyalurkan bekalan makanan asas untuk penduduk di sekitar 13 buah klinik miliknya yang terkesan daripada penularan Covid-19.

Inisiatif itu mungkin menjadikannya sebagai pengendali klinik pertama menganjurkan food bank.

Klinik SPCare lancar ‘food bank’ dan edar bakul makanan kepada golongan terjejas musim PKP.

Sejak beberapa hari lalu, SPCare yang diasaskan oleh Dr Sathia Prakash Nadarajan aktif dalam menyediakan pelbagai jenis makanan asas di food bank di kliniknya di Rawang.

Antara makanan asas yang diletakkan ialah beras, minyak masak, sardin, susu tepung bayi, telur, gula, garam, kicap, kaya, mi segera, bihun masak, susu tin, milo, nestum dan biskut kering.

Keperluan asas seperti sabun mandi, sabun basuh, ubat gigi, berus gigi juga disediakan bagi mereka yang terjejas ekonominya.

Dr Sathia Prakash Nadarajan

Selain food bank SPCare turut mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan bantuan dengan kadar segera, malah ada juga disalurkan kepada individu yang mengibarkan  bendera putih di luar rumah.

Selain itu SPCare juga telah menyediakan talian khas untuk dihubungi oleh penduduk sekitar Rawang untuk mendapatkan  bakul makanan yang mencukupi bagi seisi keluarga untuk dua tiga minggu.

Klinik SPCare lancar ‘food bank’ dan edar bakul makanan kepada golongan terjejas musim PKP.

MalaysiaGazette yang berada untuk meninjau sambutan yang diterima SPCare terhadap inisiatifnya mendapati ia amat menggalakkan.

Individu yang dikenali Tien Ming, 50, memberitahu, pendapatannya terjejas sejak enam bulan lepas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keluarganya terpaksa ikat perut dalam mengharungi kehidupan harian.

Tien Ming bercakap dengan salah seorang warga SPCare

“Kami makan sekali sahaja. Saya sendiri pun kena strok dan hanya buat kerja-kerja kecil seperti bantu isi cukai jalan dan kerja-kerja dokumentasi lain. Dari situ saya dapat komisyen sikit-sikit.

“Sekarang ada perintah tidak boleh rentas daerah jadi saya tidak boleh ulang alik dari Kuala Lumpur, memang susah sebenarnya. Anak-anak masih belajar sekolah menengah. Isteri juga tidak kerja. Saya ada seorang ibu yang uzur juga.

“Memang susah sekarang, bila saya tahu sini ada bantuan makanan asas, saya terus datang, tengok memang rezeki saya kerana dapat satu kotak keperluan asas boleh guna untuk dua minggu,” katanya.

Sebuah keluarga India yang memiliki bilangan ahli keluarga seramai 13 orang yang merangkumi lima kanak-kanak dan tiga warga emas hampir berputus asa kerana ketiadaan makanan mencukupi sejak berminggu-minggu lamanya.

Melihat keadaan itu, warga SPCare menyampaikan beberapa bakul makanan kepada warga tersebut dan meminta ahli keluarga terbabit menghubungi klinik jika memerlukan bantuan lain.

Selain itu, sebuah van SPCare digunakan untuk melakukan rondaan setiap beberapa jam jika terdapat insan yang memerlukan pertolongan.

Semua maklumat berkaitan bantuan yang dihulurkan itu boleh diperolehi melalui laman Facebook SPCare dan aplikasi WhatsApp. – MalaysiaGazette

Warga SPCare sama-sama pikul bebanan membantu golongan terjejas