Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berikutan gambar tular

Pertamanya, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin akan pematuhan SOP dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. Berikutan berita yang tular berkenaan tindakan saya menyuapkan makanan kepada seorang kanak-kanak OKU bernama Nur Azalea Zafirah, berusia 6 tahun yang merupakan anak kepada Saudara Fendi Adlun, pemuzik Caliph Buskers, saya memohon maaf andai kiranya tindakan responsif saya tidak menyenangkan mata dan menimbulkan persoalan dan kebimbangan kepada sesetengah pihak.

Untuk makluman semua, kanak-kanak tersebut merupakan seorang kanak-kanak OKU penglihatan dan Autisme yang mana anak ini berada dalam keadaan kurang ceria ketika ketibaan saya. Namun kanak-kanak tersebut beransur ceria dan tenang apabila dipujuk dan ditawarkan hidangan makanan yang saya bawa. Bapa beliau sendiri memaklumkan bahawa anaknya tidak mampu makan sendiri dan perlu dibantu dalam menyuapkan makanan kepada anaknya.

Hati saya menjadi lebih tersentuh apabila kanak-kanak tersebut sendiri menyebut “Nak Aunty suapkan…” kepada saya. Untuk tidak menghampakan anak istimewa ini, saya terus menyuapkan makanan tersebut sebagai sebahagian pendekatan psikososial dalam menzahirkan rasa kasih saya sebagai seorang wanita kepada kanak-kanak apatah lagi buat insan yang kurang bernasib baik ini.

Sesungguhnya saya sendiri mengamalkan kebersihan kendiri setiap masa yang mana tangan saya telah disanitasi setiap kali sebelum dan selepas saya menyantuni kumpulan sasar saya. Saya sentiasa memastikan sanitizer dan tisu basah berada dalam simpanan saya untuk memastikan kebersihan kendiri menjadi amalan saya setiap masa. Saya juga memakai pelitup muka sepanjang sesi saya menyantuni saudara Fendi dan anaknya Nur Azalea Zafirah.

Saya turut berpesan kepada diri sendiri dan semua masyarakat di luar sana agar terus ingat mengingati sesama kita dalam usaha mengamalkan norma baharu dan terus menjaga kebersihan kendiri. Usaha berterusan saya untuk terus membantu golongan yang memerlukan adalah satu ikrar diri bahawa saya tidak akan berhenti untuk terus menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa membeza-bezakan latar belakang mereka. Terima kasih sekali lagi buat komen-komen yang membina yang diberikan dalam usaha memperbaiki tugasan, amanah dan tanggungjawab kebajikan yang saya usahakan. Semoga kita terus dilindungi dan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 ini dengan segera. – MalaysiaGazette