Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Situasi buruk yang berlaku di Lembaga Tabung Haji (TH) sudah berakhir dan untuk memastikan pelan pemulihannya terus stabil ia perlu dipantau oleh ‘mandur’ yang betul.

Cadangan untuk meletakkan TH di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) sewajarnya tidak dijadikan isu berpanjangan memandangkan ia adalah satu usaha untuk menutup terus episod-episod hitam organisasi tersebut.

Sumber yang terlibat secara tidak langsung dalam pelan pemulihan TH berkata, ketika pelan pemulihan TH dilaksanakan pada peringkat awal, sudah jelas bagaimana sukarnya kedudukan TH pada masa itu.

Buktinya, aset-aset TH yang teruk terpaksa diserahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) – pendekatannya sama seperti langkah kerajaan menubuhkan Syarikat Penubuhan Danaharta Berhad untuk membeli hutang tertunggak yang menjejaskan sistem perbankan negara ketika krisis kewangan 1998.

Memandangkan keadaan TH hari ini sudah stabil, jadi apa salahnya jika organisasi terus berada dalam trek yang betul.

“Meletakkan TH di bawah BNM adalah pendekatan terbaik kerana Bank Pusat akan memantau kecairan, modal, pentadbiran, risiko, pentadbiran seperti amalan institusi perbankan di negara ini.

“Walaupun kawal selia ke atas TH sama seperti yang dilakukan kepada bank-bank tetapi fungsi dan matlamat penubuhan TH tidak berubah kerana aktiviti utama TH tetap menguruskan ibadah haji bagi umat Islam di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang enggan dipetik namanya menambah, dalam perkataan yang mudah, BNM akan periksa dan imbang operasi dan pengurusan TH.

Sumber yang pernah menjadi ketua ekonomi di beberapa institusi perbankan percaya, dengan meletakkan TH di bawah kawal selia BNM akan memberi manfaat kepada pendeposit dan pemegang-pemegang kepentingannya.

Ini membolehkan TH diurus secara merit dan telus kerana ketelususan adalah mekanisme BNM.

Beliau turut berpandangan daripada aspek-aspek lain tiada alasan yang menyukarkan cadangan ini dilaksanakan kecuali kakitangan TH akan berdepan ‘banyak kerja’ kerana banyak laporan yang perlu disediakan.

“Bermakna semua kerja-kerja yang dilakukan oleh institusi perbankan perlu dilakukan oleh kakitangan TH. Itu sahaja.” ujar beliau.

Menjawab kegusaran pihak-pihak tertentu dengan langkah yang diambil oleh Kementerian Kewangan ini, sambil mengeluh beliau berkata:”Saya percaya TH tidak perlu dikawal selia oleh BNM jika ia telah melaksanakan mandatnya dengan betul seperti mana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan dan Permodalan Nasional Berhad.

“Saya harap jawapan ini dapat menjawab kebimbangan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sudah sampai masanya TH berfungsi sebagai tabungan haji bukan lagi sebagai tempat pelaburan atau simpanan untuk mendapat pulangan atau dividen.

Jelas beliau, persepsi ini perlu diubah kerana agihan dividen yang ditawarkan kepada penyimpan-penyimpan TH yang bukan untuk tujuan mengerjakan ibadah haji menjadi cabaran kepada TH selama ini.

“Sudah sampai masanya perkara ini dilihat semula. Jadikan TH tempat menyimpan bagi individu-individu yang belum mengerjakan haji, yang sudah dapat peluang haji sepatutnya mengeluarkan wang mereka.

“Dengan cara ini, TH tidak berada dalam tekanan untuk mengumumkan dividen, umum bila mampu sahaja. Kerajaan kena tengok semula tujuan asal penubuhan TH,” katanya. – MalaysiaGazette