Foto Ebit Lew yang dimuatnaik bersama hantaran di laman Facebook.

KUALA LUMPUR – Sehari selepas tampil membuat penjelasan dan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, pendakwah Ustaz Ebit Lew hari ini tampil memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang terbabit secara langsung atau tidak langsung atas yang berlaku.

Dalam hantaran di laman Facebook, Ebit Lew turut memaafkan semua yang memfitnah dan menjatuhkannya termasuk mereka yang pernah memanggilnya ‘syaitan, dajjal, babi, bodoh, penunggang dan lain-lain.

“Saya maafkan sesiapa sahaja yang telah menyakiti arwah ayah saya, bidadari saya, dan anak-anak saya. Saya maafkan semua. Kita semua sebuah keluarga sampai bila-bila,” katanya.

Mengulas lanjut, Ebit Lew berkata, kemunculannya semalam hanyalah dengan niat untuk menjelaskan semua tuduhan terhadapnya.

“Saya minta maaf ya pada semua,” tulis beliau.

Ebit Lew berkata, beliau turut berpesan pada dirinya dan semua pihak supaya bersatu hati bersama-sama berdoa supaya Allah mengangkat musibah Covid-19.

“Semoga Allah beri kekuatan pada barisan hadapan dan semua yang ditimpa virus ini sembuh. Berat keadaan negara kita semua.

“Sedang kita berselisih begini ramai orang miskin dan anak yatim lapar. Ramai hilang kerja dan tempat tinggal.

“Tanyalah khabar jiran dan keluarga terdekat. Bila dua orang berselisih keduanya tidak untung. Tapi yang untung ialah syaitan.

“Sekali lagi saya minta maaf. Doakan saya ya.

“Cukuplah sampai sini ya. Ya Allah jika ada pahala untuk semua yang berlaku ini saya hadiahkan semua pahalanya buat mak ayah saya,” katanya.

Artikel berkaitan:

Rabu lalu Ebit Lew membuat laporan polis menamakan rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Palestin, Nadir Al Nuri dan penyanyi rap Caprice serta beberapa orang lagi berikutan kontroversi misi kemanusiaannya ke Gaza baru-baru ini.

Dalam sidang medianya semalam, Ebit Lew menafikan segala tuduhan termasuk beliau membayar pada jumlah yang tinggi untuk masuk ke Gaza menggunakan satu syarikat bernama Hala.

Beliau juga menjelaskan, segala barangan termasuk peralatan perubatan untuk disumbangkan kepada penduduk Palestin dibeli menggunakan duitnya sendiri dan sumbangan sahabat-sahabatnya.

Kontroversi tercetus apabila Caprice membuat pendedahan tentang kunjungan Ebit Lew ke Gaza termasuk kononnya pendakwah itu mencium kaki menteri Palestin untuk dapat masuk ke wilayah itu.

 

1 Komen

  1. AlhamduliLlah… demikianlah yang sebaik-baiknya. Semuga UEL terus istiqamah dalam usaha-usaha daawah dan amal dan semoga ALlah permudahkan untuk anda dan sahabat2 semua.

Comments are closed.