Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bertanyakan khabar dengan penerima bantuan, Noraniza Abdul Wahab sebelum menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin Negara di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menerima sebanyak 314,749 permohonan untuk program Bakul Prihatin Negara (BPN) sejak 19 Julai lalu sehingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sehingga kini, pihaknya telah menyerahkan kepada 11,740 penerima bakul yang memberi manfaat kepada isi rumah seramai 40,410 orang.

Jelas beliau, BPN pada masa sama  merupakan inisiatif permulaan bagi mencetus kepada proses mengenalpasti masalah dan isu yang menimpa masyarakat di akar umbi.

“Pihak kami bukan sekadar mengedarkan barang. Bila kita turun, kita lihat juga setiap pemohon yang mempunyai kes-kes tertentu.

“Sebagai contoh, rata-rata lawatan yang saya turun hari ini penerima bakul makanan tidak mempunyai pekerjaan.

“Ada juga yang mempunyai masalah kehidupan mereka sendiri apabila kita menyatuni warga emas yang sakit terlantar, yang duduk satu rumah yang memiliki satu bilik dan didiami sembilan orang.

“Pada masa sama, apabila kita turun, kita juga membawa kaunselor dan akan memberi mereka bimbingan dan kaunseling. Kita boleh bagi bantuan tapi mereka juga perlu motivasi untuk terus menghadapi kehidupan ini,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin Negara di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan di lima buat rumah di sekitar ibu kota di sini hari ini.

BPN adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilancarkan pada 15 Julai lalu sebagai tindak balas proaktif kerajaan terhadap senario yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program ini merupakan nilai tambah kepada Program Bantuan Bakul Makanan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebagai inisiatif Prihatin Rakyat yang telah diumumkan sebelum ini termasuk di bawah pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Sebanyak RM21 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan BPN dengan peruntukkan oleh kerajaan sebanyak RM5 juta dan sumbangan daripada sektor korporat bernilai RM16 juta daripada lima syarikat korporat.

Antaranya ialah Petronas, Aeon Co. (M) Bhd, Pharmaniaga Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin Negara kepada penerima, Noraniza Abdul Wahab (tengah) di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2021.

Mengulas lanjut, Rina memuji keprihatinan syarikat-syarikat korporat yang telah tampil untuk menyokong usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Beliau berharap agar kerjasama itu menjadi galakan kepada syarikat-syarikat lain untuk turut menyumbang yang boleh dihulurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara. – MalaysiaGazette