KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kelebihan enam mata ke atas pencabar terdekat Terengganu FC selepas kemenangan 3-1 berdepan Selangor FC turut dibantu kejayaan Melaka United FC menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Hang Jebat pada Rabu lalu.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora menganggap apa yang terjadi itu sebagai satu kelebihan besar buat mereka tetapi tidak mahu mendabik dada terlalu awal kerana perjalanan Liga Super masih panjang serta sukar diramal.
Jelas beliau, JDT hanya mahu memikirkan tiga mata dari tiap perlawanan yang dilalui berikutan tiada sebarang aksi menjanjikan peluang mudah untuk mereka meraih kemenangan.
“Keputusan ini merupakan kombinasi yang sememangnya berpihak kepada kita apabila kami menang, mereka tewas dan jurang enam mata ini adalah cukup baik.
“Kami sememangnya dari awal hanya memikirkan untuk muncul juara tetapi perlu diingatkan, perjalanan masih terlalu jauh dan kita perlu menghormati setiap pesaing di Liga Malaysia.
“Kita tidak tahu siapa akan berikan kejutan pada perlawanan akan datang malah pasukan yang datang dari kedudukan bawah juga boleh hadirkan tentangan sengit kerana kita tahu setiap lawan yang kami temui sentiasa berikan lebih 150 peratus.
“Saya juga gembira dengan peningkatan keyakinan yang ditunjukkan oleh Bergson yang sudah menemui sentuhan jaringan selepas tidak begitu menjadi di Liga Juara-Juara AFC kerana seorang penyerang amat memerlukan jaringan.
“Hari ini dia juga berpeluang menambah jaringan kedua melalui tandukan sebelum bertindak sebagai pengumpan kepada jaringan ketiga yang dihasilkan Mohamadou Sumareh, ” katanya.
JDT akan bertemu Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim di tempat sendiri malam ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan memghamburkan pujian buat semua pemain yang peragakan aksi penuh terpuji untuk mengejutkan Terengganu FC.
Biarpun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki, Zainal tetap berpuas hati secara keseluruhan dengan apa dipamerkan oleh pemain-pemain namun mengingatkan perjalanan mereka untuk kekal di Liga Super masih belum berakhir.
“Kemenangan ini sangat bermakna kerana kami dapat memperbaiki kedudukan dan terima kasih kepada pemain yang berjaya jalankan tanggungjawab dengan baik.
“Walaupun ada masa tertentu kami tertekan serta ada lakukan beberapa kesilapan, saya harap perkara sama tidak berulang dan kami akan perbaiki pada perlawanan seterusnya.
“Apa kebaikan yang sedang nampak sekarang ini ialah pemain-pemain sudah semakin banyak membantu antara satu sama lain dan pasukan Melaka semakin ada corak permainan tersendiri yang saya mahukan,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Sony Norde menghasilkan jaringan individu yang begitu menarik pada minit-36 sebelum penyerang import baharu Melaka, Adriano melengkapkan malam gembira buat skuad Hang Tuah dengan gol pada minit-78.
Melaka FC akan berkunjung ke gelanggang lawan untuk bertemu Kuala Lumpur City FC malam ini. – MalaysiaGazette