Petugas media yang membuat liputan suasana di luar kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang ke kediamannya di Bukit Damansara pukul 2.36 petang tadi.

Beliau tiba dari pejabatnya di Perdana Putra selepas selesai mesyuarat Kabinet yang berlangsung tengah hari tadi.

Kenderaan yang membawa beliau diiringi pengawal pengiring dan kesemua mereka meninggalkan kediaman itu di Jalan Setia Bakti 6, beberapa minit kemudian.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada jam 11 pagi.

Muhyiddin juga memaklumlan telah menerima warkah daripada baginda semalam memaklumkan kepada perdana menteri bahawa Istana telah menerima lapan nama ahli Parlimen UMNO yang menyatakan menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.

Dalam pertemuan pagi ini, Muhyiddin  membuat sembah maklum bahawa beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli- Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkannya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

Pertemuan tersebut berlangsung hampir sejam dan kemudian Muhyiddin bergegas ke pejabatnya di Perdana Putra bagi menghadiri mesyuarat Kabinet.

Beliau juga membuat perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen bagi menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

Ia adalah susulan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

beberapa ahli Parlimen parti itu juga dilapor sudah menandatangani aku janji menarik sokongan terhadapnya untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam perutusan tersebut Muhyiddin turut mendakwa terdapat pihak-pihak yang kurang senang dengan ketegasan beliau tidak melayan beberapa tuntutan sehingga mencetuskan kemelut politik. – MalaysiaGazette