Selangor Kit Siang Anwar gelombang hijau
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Sidang Parlimen sepatutnya bersidang selewat-lewatnya pada 16 Ogos untuk menentukan sama ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti atau tidak.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata, persidangan itu tidak harus dilewatkan sehingga September memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional semalam.

“UMNO juga menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri, jadi Parlimen perlu bersidang semula selewat-lewatnya pada 16 Ogos iniuntuk merungkai keenam-enam Ordinan Darurat.

“Persidangan itu juga membolehkan Muhyiddin menunjukkan sama ada beliau ada mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen,” katanya yang dipetik daripada  blognya hari ini.

Kit Siang berkata, sejak 5 Januari 2021, beliau telah menyeru supaya sidang khas Parlimen diadakan untuk berbincang mengenai keadaan wabak Covid-19 yang semakin teruk dan mengelakkan negara ini daripada bergerak ke arah 200,000-250,000 kes Covid-19.

“Sebaliknya, darurat diisytiharkan dan Parlimen digantung.

“Selepas seruan berkali-kali daripada Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-raja Melayu pada 16 Jun 2021 supaya Proklamasi Darurat, Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibentangkan dan dibahas di Parlimen, sidang khas Parlimen selama lima hari untuk Dewan Rakyat dan tiga hari untuk Dewan Negara dijadualkan bermula pada 26 Julai, tetapi, tidak ada sebarang perbahasan mengenai Proklamasi Darurat atau Ordinan Darurat,” katanya.

Jelasnya, amat malang sekali, apabila sidang khas ini pun digantung pada 29 Julai atas alasan wabak Covid-19.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah tidak boleh menjadi alat politik kerajaan Muhyiddin dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat perlu bersidang segera dalam mesyuarat tergempar.

“Ini adalah untuk membincangkan pelanggaran keistimewaan Parlimen dan undang-undang yang amat serius, yang mana Ahli-ahli Parlimen dihalang daripada menjalankan tanggungjawab mereka pada 2 Ogos 2021,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menerusi satu sidang media telah memaklumkan menerima surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan masih mempunyai kepercayaan majoriti pada masa ini.

Sehubungan itu, peletakan jawatan beliau di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

Menurut Muhyiddin lagi, perkara itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong ketika dipanggil menghadap di Istana Negara jam 11 pagi hari ini.