KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dilaporkan telah meninggal dunia petang tadi.

Berita itu diumumkan menerusi perutusan takziah oleh pengurusan MSH Group.

Allahyarham yang berusia 34 tahun dilantik sebagai Presiden PFA sebelum saingan Liga Perdana musim 2019 membuka tirainya.

Beliau pada mulanya dianggap sebagai penyelamat sekali gus menjadi titik kepada kebangkitan bola sepak Perlis yang tidak aktif sejak 10 tahun terakhir.

Ahmad Amizal dikatakan agak berani apabila mengambil beberapa pemain berpengalaman tempatan dengan gaji yang ditawarkan agak lumayan untuk beraksi bersama pasukan berpangkalan di utara tanah air itu.

Namun pada 23 Februari 2019, Ahmad Amizal mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai presiden PFA dengan alasan beliau gagal untuk menjalankan tugas dengan baik.

Malah pasukan Perlis tidak sempat beraksi pada 2019 dalam saingan Liga Perdana berikutan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan mereka selepas mendapati pasukan berkenaan tidak mempunyai kewangan kukuh termasuk berdepan masalah tunggakan gaji sejak awal musim. – MalaysiaGazette