Op Gegar dianggotai 21 pegawai Jabatan Imigresen Pahang menahan 11 orang pelacur warga asing di Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN – Kegiatan pelacuran dikesan beroperasi menerusi aplikasi WeChat dan Michat bagi menarik pelanggan terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Negeri Pahang dalam Op Gegar hari ini.

Ketua Unit Operasi Jabatan Imigresen Pahang, Jeffri Nasir berkata, kegiatan pelacuran wanita warga asing itu dilakukan di rumah sewa dengan menawarkan bayaran RM250 setiap kali perkhidmatan.

“Hasil risikan mendapati rumah sewa yang berada di sekitar Kuantan itu menjalankan aktiviti tidak bermoral selain menghidangkan minuman keras di ruang tamu tingkat bawah.

“Seramai 10 wanita warga asing dari Thailand dan seorang dari Vietnam  menggunakan aplikasi Michat dan Wechat dengan bayaran RM250 setiap kali perkhidmatan untuk pelanggan dikenali sahaja.

“Hasil serbuan telah memeriksa 15 orang manakala 11 orang telah ditahan atas beberapa kesalahan,” katanya.

Tambah Jeffri, Op Gegar disertai seramai 21 orang pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Pahang telah membuat dua serbuan di lokasi berbeza telah menahan seramai 11 wanita warga asing.

ARTIKEL BERKAITAN :

Enam pelacur dicekup

Empat pelajar antara 15 remaja berparti liar ditahan

 

Seramai 11 wanita ditahan manakala 15 lagi diperiksa di sekitar Kuantan

Antara kesalahan  ialah tinggal melebihi tempoh masa di negara ini di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1956/63, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki ke negara ini tanpa permit yang sah.

“Ada juga melanggar syarat pas atau permit di bawah  Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Notis Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan kepada penjaga premis bagi membantu siasatan.

“Kesemua tahanan tersebut akan dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Sekilau Kuantan untuk  ujian saringan Covid-19. Setelah kesemua ujian saringan tahanan didapati negatif, mereka telah dipindahkan ke Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Tegasnya, kegiatan menyalahi undang-undang negara tidak akan dibiarkan berleluasa dan pihaknya akan terus melakukan serbuan berdasarkan maklumat dan risikan terhadap warga asing yang cuba mengambil kesempatan. – MalaysiaGazette