Muhyiddin Yassin berbual dengan Menteri Besar Johor, datuk Hasni Mohammad ketika menghadiri sidang DUN Johor pagi ini.

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu tiba di sini kira-kira jam 9.30 pagi.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (PPBM-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (PPBM-Bukit Kepong).

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor ke-13 pada 1986 hingga 1995 selepas memenangi kerusi DUN Bukit Serampang.

Pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 hari ini akan disempurnakan oleh titah ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Hari pertama Persidangan DUN Johor hari ini menjadi perhatian, susulan perkembangan politik yang berlaku di peringkat Persekutuan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Ogos lalu.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Johor menjadi negeri pertama membuka semula sesi DUN hari ini, selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkini – UMNO dan DAP masing-masing 14, PPBM (12), MIC (dua), Pas (satu) sementara Parti Amanah Negara (PAN) enam dan PKR pula tujuh.

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas PPBM memberikan sokongan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast