Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof semasa hadir pada mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Publika, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat pengumuman esok, kata Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Oleh itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu meminta semua pihak bersabar berhubung kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Akan ada pengumuman tapi mohon sabar tunggu esok,” katanya kepada media selepas selesai mesyuarat khas bersama Ahli Parlimen PN, hari ini.

Muhyiddin hari ini mempengerusikan mesyuarat khas di kalangan Ahli-ahli Parlimen PN.

Dalam pada itu, Redzuan berkata mesyuarat khas hari ini turut membincangkan bentuk tindakan yang akan diambil sekiranya Muhyiddin bertindak melepaskan jawatannya.

“Kita berbincang tentang ke mana arah tuju apakah bentuk yg akan terjadi sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan.

“Perdana Menteri telah mencari segala bentuk pilihan untuk kepentingan rakyat dalam keadaan krisis hari ini,” katanya lagi.

Katanya, PN melihat ada golongan yang tidak bertanggungjawab mahu melihat kepentingan rakyat digadaikan.

“Sepatutnya mereka mengekalkan segala usaha yang dibawa PM dan kerajaan.

“Tetapi kita akur kepada Perlembagaan sekiranya ada yang menarik sokongan atas kepentingan peribadi tanpa mengira kepentingan rakyat

“Maka kita kena uruskanlah dengaan yang terbaik.

“Itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan negara ini terus diterajui oleh kepimpinan yang berkeprihatinan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast