Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Wang Wenbin.

BEIJING – China mahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) segera melakukan siasatan terhadap makmal Fort Detrick dan University of North Carolina di Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mengenalpasti asal usul virus Covid-19.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Wang Wenbin menyatakan surat telah dihantar kepada Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus melalui wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Chen Xu pada Selasa lepas.

Menurut Wenbin, pihaknya turut melampirkan dua kertas kerja bertajuk “Perkara yang disangsikan mengenai Fort Detrick (Institut Penyelidikan Perubatan Penyakit Berjangkit Tentera AS ) dan “Penyelidikan Koronavirus Dijalankan Pasukan Dr. Ralph Baric di University of North Carolina”.

“Selain itu, satu petisyen yang ditandatangani lebih 25 juta masyarakat China kepada WHO yang menuntut siasatan ke atas makmal Fort Detrick dilakukan turut dilampirkan bersama.

“China sentiasa mendokong usaha mengesan asal usul virus ini, bahkan Institut Virologi Wuhan (IVW) telah dilawati pasukan penyelidik dari WHO namun kajian menyeluruh mengesahkan bahawa ia tidak mungkin bocor dari makmal itu,” katanya berdasarkan laporan Kedutaan China baru-baru ini.

Menurutnya, bagi memastikan siasatan siasatan berhubung asal usul Covid-19 dilaksanakan secara adil dan telus, makmal biologi di University of North Carolina (UNC) dan Institut Penyelidikan Perubatan Tentera AS Penyakit Berjangkit di Fort Detrick (USAMRIID) turut perlu disiasat.- MalaysiaGazette