Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaludin Alias melawat CMC Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.-Gambar FB Jalaludin.

KUALA LUMPUR – Senarai terperinci berkenaan status pemberian vaksin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diperlukan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, data itu perlu bagi proses untuk pemindahan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya juga secara peribadi ingin menggesa agar pihak Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19(CITF) di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dapat mengeluarkan senarai terperinci berkenaan status pemberian vaksin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran Facebook semalam.

Menurut Jalaludin, jika dilihat kepada data yang dikeluarkan, liputan vaksinasi bagi populasi dewasa yang lengkap 2 dos di #WPKL adalah 162.8%, #Putrajaya (173%), dan #Labuan (94.1%).

“Angka ini adalah melibatkan pelbagai kelompok antaranya mereka yang tinggal di luar Wilayah Persekutuan tapi menerima suntikan di sini, pekerja warga asing dan lain-lain lagi,” tambahnya.

Untuk Wilayah Persekutuan beralih ke Fasa ke 2, data sebenar populasi yang sudah menerima 2 dos ini sangat penting.

“Saya telah minta pihak yang berkenaan untuk membuat semakan, berapakah jumlah sebenar penduduk Wilayah Persekutuan, yang tinggal di sini, yang telah lengkap menerima vaksinasi.

“Saya faham, semua pihak ingin segera beralih ke Fasa PPN yang lebih baik. Tapi kita perlu ingat, untuk beralih fasa ini, soal kesihatan dan keselamatan rakyat kita tidak boleh kompromi. Jangan kita risikokan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, semalam beliua sempat meninjau ke bilik gerakan dan persediaan bakul makanan yang diuruskan oleh pihak Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi dan Pengurusan Covid-19 (CCMC) Wilayah Persekutuan dengan sumbangan oleh pihak swasta dan agensi yang berkaitan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.