Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia digesa membentangkan garis panduan sebenar berhubung lantikan bertaraf menteri.

Ia meliputi syarat keperluan, dasar kebertanggungjawaban dan akaunatbiliti terhadap Parlimen, serta batasan lantikan agar pihak kerajaan bersifat jujur dan telus kepada rakyat sebelum sebarang lantikan dibuat.

Dalam masa yang sama, perkara-perkara asas meliputi batasan lantikan dan akauntabiliti seperti dinyatakan harus dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan agar mereka turut sama memikul tanggungjawab yang termaktub dalam doktrin “Ministerial Responsibility” serta prinsip “Collective Responsibility” seperti yang wujud dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pembentangan itu perlu kerana ABIM bimbang lantikan bertaraf menteri ini menjadi budaya baharu politik negara yang pasti memberi kesan kepada tatakalola kerajaan yang baik serta membawa implikasi besar terhadap kewangan negara.

Dalam tempoh jangka panjang, ABIM juga khuatir lantikan bertaraf menteri ini akan menjadi hadiah saguhati politik kepada mana-mana ahli Parlimen yang menyokong seseorang menjadi perdana menteri dan pasti akan memberi kesan buruk kepada amalan demokrasi dalam negara, katanya. – MalaysiaGazette