Rahilah Rahmat

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mewujudkan sistem pembayaran pintar bagi memudahkan urusan penduduk setempat.

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, sistem yang dinamakan iP3KS membolehkan penduduk menyemak dan membayar beberapa jenis perkhidmatan secara dalam talian.

Katanya, kemudahan itu termasuk menyemak dan cukai taksiran, kompaun, tempahan dewan, permohonan dan pembaharuan lesen serta pembelian dokumen tender.

“Sejajar agenda pendigitalan Kerajaan Negeri, MPKS sebagai salah satu agensi kerajaan mengambil peluang menjadikan platform digital untuk mewujudkan jalinan perkhidmatan yang mesra dan mudah kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, MPKS menggunakan internet berkelajuan tinggi 1 Gigabit sesaat melalui rangkaian Jaringan Gigabit Selangor untuk tujuan itu.

Katanya lagi, inisiatif tersebut akan diteruskan selaras pendigitalan lestari dan mampan mengikut pelan strategik pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor, MPKS 2021-2025 serta Teknologi Komunikasi Maklumat 2021-2025 yang masih dalam perancangan.

Tambahnya, inisiatif itu sejajar dengan empat teras utama pendigitalan iaitu pemantapan infrastruktur secara inklusif dan bersepadu, pengukuhan infratruktur pendigitalan stabil dan mampan, pemerkasaan persekitaran pendigitalan pentadbiran negeri dan pengukuhan kepakaran dan kepimpinan pendigitalan pentadbiran negeri. – MalaysiaGazette