Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian kira-kira RM12,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) yang kononnya dikendalikan sebuah syarikat yang berpangklaan di United Kingdom dalam kejadian pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun.

Bagaimanapun, menurut beliau, kes tersebut telah mendapat arahan NFA (tiada tindakan lanjut) setelah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor.

“Terdahulu pengadu telah berminat memasuki pelaburan Forex yang ditawarkan oleh rakannya dengan mengatakan pelaburan tersebut dikawal oleh sebuah syarikat dikenali Veonco yang terletak di United Kingdom dengan menjanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus setiap bulan.

“Pengadu telah memasukkan wang kira-kira RM12,800 ke dalam akaun syarikat tersebut dan mendapat pulangan sebanyak RM10,000.

“Pengadu juga dikatakan mengajak saudara-mara dan rakan-rakannya untuk turut serta dalam pelaburan tersebut dengan membuat bayaran ke lima akaun berlainan serta secara tunai kepada syarikat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun Mohamad Farouk menjelaskan, pihaknya hanya menerima satu laporan polis daripada pengadu manakala tiada laporan mangsa lain.

“Hanya satu laporan polis yang diterima dari pihak pengadu dan bagi mangsa-mangsa lain tiada laporan yang diterima. Anggaran kerugian adalah lebih kurang RM12,000.

“Kes telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan telah di NFA atas sebab tiada pembuktian mencukupi dan keterangan yang bercanggah,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette