Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari bercakap kepada media mengenai pembubaran DUN melaka ketika di Graha Amanah, Bukit Katil. Foto MOHD ADZLAN, 06 OKTOBER 2021.

AYER KEROH – Mengheret negeri Melaka kepada darurat adalah suatu perkara yang cukup buruk bagi rakyat, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari.

Menurut mantan Ketua Menteri itu, pengisytiharan darurat bukan sahaja menyulitkan situasi politik malah memberi persepsi negatif ketika negeri tersebut sedang dalam proses peralihan dari satu fasa ke fasa yang lain menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi saya mengheret Melaka kepada darurat adalah sesuatu yang cukup buruk bagi rakyat kerana kita dalam proses daripada satu fasa ke satu fasa. Kita tidak boleh balik kembali (kepada asal) untuk merosakkan gambaran ekonomi kerana kita sedang membuka pintu ekonomi buat rakyat.

“Dan tidak wajar apabila darurat dilihat untuk menjaga rakyat terutamanya di negeri Melaka tetapi sebaliknya yang berlaku, kita baru hendak membuka pintu pelancongan semula,” katanya dalam sidang media di Bukit Katil di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, proklamasi darurat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berkuatkuasa adalah berbeza sekiranya ia berlaku di negeri Melaka.

Ini kerana negeri Sarawak mempunyai suatu bentuk kestabilan politik, katanya.

“Sarawak ada satu bentuk kestabilan politik kerana mereka mempunyai kerajaan yang dipilih oleh rakyat berbeza dengan Melaka.

“Melaka ini mempunyai kerajaan yang minoriti jadi bagi saya tidak wajar (darurat) kerajaan negeri ini hilang kepercayaan,” ujarnya.

Artikel berkaitan:

Dalam perkembangan berlainan, Adly berkata, terdapat pelbagai solusi yang boleh digunakan dalam memastikan kestabilan politik dapat dicapai.

Kata beliau, ruang pertemuan harus lah dibuka untuk mencari penyelesaian tersebut kerana terdapat banyak formula dalam memastikan kestabilan politik di peringkat kerajaan negeri.

“Saya selalu sebut bahawa ketidakstabilan politik dalam negara ini adalah kerana kita mengganggu mandat yang diberikan oleh rakyat dan kita boleh melihat kesannya di peringkat persekutuan dan hari ini kesannya di negeri Melaka.

“Saya tak nafikan mana-mana Ketua Menteri boleh mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan tetapi prosesnya perlu dibuat secara betul seperti yang saya lakukan di kala saya memegang jawatan tersebut.

“Amat dukacita apabila kerajaan sedia ada hilang kepercayaan tetapi mereka tidak menggunakan garis perlembagaan dan proses yang betul,” ujarnya.

Artikel berkaitan:

Ketika ditanya mengenai persediaan menghadapi PRN kelak, Adly memaklumkan bahawa PH Melaka sentiasa kekal muafakat sama ada ketika memegang tampuk pemerintahan atau berperanan sebagai pembangkang.

“PH Melaka pada bila-bila masa memang bersedia untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Tetapi setakat ini kita lebih banyak memberikan fokus kepada kestabilan politik berbanding PRN.

“Saya lebih melihat kepada kestabilan politik negeri kerana ia merupakan satu keutamaan dan hala tuju pada masa hadapan berbanding mencari penyelesaian lain,” katanya.

Semalam Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengambil langkah membubarkan DUN selepas hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi sidang media berkata, Proklamasi Pembubaran DUN Melaka itu diwartakan semalam. – MalaysiaGazette