KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas sebahagian atau keseluruhan Sabah.
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia telah berulang kali menegaskan pendirian itu.
Katanya, Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia bukan sebuah wilayah yang boleh dipertikaikan.
“Isu berkenaan tuntutan ke atas Sabah juga telah beberapa kali dibincangkan semasa pertemuan dua hala antara pemimpin Malaysia dan Filipina.
“Kedua-dua pihak mempunyai persefahaman bahawa isu tersebut tidak akan dibangkitkan di mana-mana platform sama ada di rantau ini atau di peringkat antarabangsa.
“Oleh itu, tiada keperluan bagi Malaysia membawa isu mengenai tuntutan Sabah ke mesyuarat atau sidang antarabangsa seperti ASEAN, Negara-Negara Berkecuali atau pun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Kedua Belas di Parlimen petang ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan) menggesa kerajaan Malaysia agar mendesak kerajaan Filipina untuk menggugurkan serta-merta tuntutan yang dibuat ke atas Sabah. – MalaysiaGazette
















