KUALA LUMPUR – Presiden UMNO hari ini menjawab tanda tanya yang dibangkitkan pelbagai pihak mengenai perkembangan terkini Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Pas pada 14 September 2019.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai tertanya-tanya masih wujudkah lagi gabungan atau hubungan antara dia parti Melayu itu?
“Pertama, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) telah membuat ketetapan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Keputusan itu merupakan sebuah ketetapan yang diamanahkan oleh akar umbi parti keramat agama, bangsa dan negara kepada Presiden UMNO untuk dilaksanakan.
“Akar umbi UMNO mempunyai sebab yang wajar berhubung ketetapan itu kerana semua sedia maklum apakah agenda terselindung penubuhan PPBM sejak September 2016,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pimpinan Pas pula telah mengisytiharkan kesetiaan mereka kepada Bersatu dan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin selepas menyertai Perikatan Nasional (PN).
Sedangkan, kata beliau, Pas juga tahu dengan jelas apakah agenda terselindung penubuhan Bersatu seperti yang mereka tahu mengenai agenda penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Kedua, UMNO tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan mengenai MN dalam persiapan dan persediaannya menghadapi PRU-15.
“Ketidaktentuan boleh mengganggu dan menyekat kelancaran strategi serta gerak kerja UMNO untuk pilihan raya umum ini.
“Oleh itu, kita perlu segera berdepan dengan hakikat seperti yang rakyat kebanyakan juga dapat melihat hakikat sebenar mengenai MN ketika ini,” katanya.
Ketiga, jelas beliau, ramai pihak termasuk dalam kalangan pengundi atas pagar berpandangan UMNO telah dikhianati, maka jika benar begitu tidak mengapa.
Katanya, UMNO kekal bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen dan rakannya yang masih setia kepada perjuangan gabungan itu.
“Dengan semangat berpuluh tahun BN, kita gemilangkan kembali semangat itu sebagai wadah perjuangan paling bererti untuk rakyat dan negara menjelang PRU-15.
“Saya yakin BN akan meraih sokongan deras rakyat selepas apa yang rakyat alami, rasai dan saksikan selepas PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018,” katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keempat, PN yang dibarisi Bersatu dan Pas telah pun mengumumkan mereka sudah mencapai kata sepakat.
Kata sepakat antara mereka untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15.
Justeru, kata Ahmad Zahid, sudah terang lagi bersuluh UMNO perlu bergerak dan melangkah ke hadapan dengan segera dan tidak boleh terus dalam ketidaktentuan.
Kelima pula soalnya, adakah UMNO tidak berusaha menyelamatkan ‘The Real Muafakat Nasional’ yang dimeterai antara UMNO dan Pas pada 2019?
Ujar beliau, ‘The Real Muafakat Nasional’ yang merupakan suatu kerjasama yang wajib bersandarkan kepada penyatuan ummah yang jujur lagi ikhlas.
“Jawapannya, UMNO sentiasa berusaha. Namun, tiada guna bertepuk sebelah tangan. Justeru, biarlah demokrasi yang menentukan sehingga tiba PRU-15.
“Ini bukan manifestasi ketamakan, sebaliknya biarlah ia free for all tetapi UMNO tidaklah rigid. Masih ada ruang untuk mempertahankan ‘The Real Muafakat Nasional’ jika Pas bersedia.
“Ramai berharapkan begitu namun dalam keadaan sekarang UMNO perlu berdepan dengan realiti semasa,” katanya.- MalaysiaGazette

















Siapa pertahan siapa? PAS dari awal lagi sudah berkata tidak akan merebut kerusi Parlimen mahupun Adun yang di miliki UMNO, PAS tidak mahu pertandingan 3 penjuru, tapi sebaliknya UMNO masih lagi cuba merebut kerusi-keeusi milik PAS. Harap Presiden UMNO dapat menutup mulut-mulut YB yang lantang untuk mencuri kerusi milik PAS.