Dua anggota penguatkuasa mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan kepada penternak lembu dan biri-biri yang mencemarkan Sungai Permatang Pasir.

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengeluarkan dua Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kepada penternak lembu dan biri-biri di Kampung Bandar Banting.

Dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya, LUAS menyatakan, penternak itu telah melakukan kesalahan bawah Peraturan 6 (1) iaitu memasukkan atau melepaskan bahan pencemar daripada Aktiviti Berjadual (penternakan lembu dan biri-biri) ke dalam Sungai Permatang Pasir.

Penternak terbabit juga dikenakan notis di bawah Seksyen 107(b) atas kesalahan menjalankan aktiviti abstraksi air (air permukaan) di sungai berkenaan.

Menurut kenyataan itu, siasatan dilakukan pada 30 September lalu selepas menerima aduan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Langat berhubung aduan pencemaran air berpunca daripada penternakan lembu dan biri-biri di Jalan Sungai Ingat, Kampung Bandar Banting, Selangor.

“Serentak itu, LUAS telah mengeluarkan dua NPK di bawah Peraturan 6 (1) dan Seksyen 107(b).

“Pihak LUAS juga telah mengarahkan penternak berkenaan menjalankan penyelenggaraan di tiga kolam kumbahan dan meninggikan lagi ban antara kolam,” kata status itu.

Sementara itu, JPV Kuala Langat mengarahkan penternak menggunakan produk ‘Effective Microbes’ (EM) dalam air minuman dan makanan ternakan, kandang ternakan serta kolam kumbahan bagi meningkatkan penguraian sisa seterusnya mengurangkan pencemaran air dan bau.

Pada masa sama, orang awam diminta melaporkan segera kepada LUAS sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan. – MalaysiaGazette