Presiden BERJASA Malaysia, Haji Zamani Ibrahim merasmikan Kelab Bola Berjasa pada sidang media mengenai penubuhan 20 cawangan Parlimen dan pendirian parti mengenai PRN Melaka di Ara Event Hall, Shah Alam, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 10 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia ketika bertugas pada Disember 2018.

Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, jumlah pencen yang dikatakan sebanyak RM300 terlalu kecil dan tidak sesuai dengan keadaan yang mana beliau meninggal dunia akibat kemalangan.

“Kes Muhammad Adib ini bukan isu individu, ia melibatkan isu maruah penjawat awam. Dia terkorban dalam keadaan dia sedang menjalankan tugas.

“Sebagai kerajaan, kena ada pembelaan sewajarnya dan mengikut maklumat yang kita dapat, arwah ini diberikan pencen RM300 sebulan.

“Bagi saya kerajaan perlu melihat, yang mana ada ruang yang boleh dibantu. Sebab ada kes penjawat awam meninggal dunia waktu bertugas, diberikan keistimewaan seperti pampasan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penubuhan 20 cawangan Parlimen Shah Alam dan melancarkan Kelab Bola Sepak FC Berjasa Selangor di Ara Event Hall hari ini.

Menurut Zamani, disebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat itu meninggal kerana bertugas maka kerajaan perlu menjaga dan mengutamakan maruah penjawat awam.

Beliau menyarankan kerajaan supaya membantu keluarga Allahyarham Muhammad Adib secepat mungkin tanpa ada alasan untuk menangguhkannya.

Zamani minta kerajaan untuk melihat semula kes itu sama ada membuka kertas siasatan dan membawanya ke muka pengadilan sekali lagi untuk mendapatkan punca sebenar kematiannya.

“Apakah benar-benar arwah ini meninggal dunia punca dibunuh atau dilanggar kenderaan bomba. Saya rasa boleh (dibuka semula kertas siasatan).

“Kalau diberi peluang dengan siasatan terperinci maka kemampuan keadilan kita adalah tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette