KUALA LUMPUR – Kerajaan menyuarakan kebimbangan dan kegusaran mengenai penubuhan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) yang memangkin persaingan senjata dan provokasi kuasa besar dunia untuk bertindak lebih agresif di rantau ini, terutamanya di Laut China Selatan.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, pada 16 hingga 20 September, Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Kanan Pertahanan telah dihubungi rakan sejawat masing-masing dari Australia dan diberi penerangan mengenai penubuhan AUKUS.
Katanya, kerajaan menegaskan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian sedia ada negara ini berhubung operasi kapal selam berkuasa nuklear dalam perairan negara, selari dengan peraturan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Jelas beliau, berdasarkan pendirian itu, kerajaan menyeru semua pihak untuk mengukuhkan kerjasama lebih aktif dalam mempromosi dan mempertahankan rantau ini sebagai rantau aman, stabil serta berkembang dan makmur selaras dengan aspirasi ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.
“Lanjutan daripada itu, utusan khas Perdana Menteri Australia berhubung AUKUS telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri, Menteri Kanan Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara pada 5 dan 6 Oktober lalu bagi tujuan memberi penerangan lanjut berkenaan pakatan tersebut.
“Platform ini digunakan oleh kerajaan untuk mengulangi dan menegaskan sekali lagi pendirian Malaysia serta mendapatkan penjelasan dan maklumat berkenaan AUKUS, khususnya projek pembinaan kapal selam yang merupakan tumpuan utama dalam isu ini.
“Di samping memantau perkembangan AUKUS dari semasa ke semasa, hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dengan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat akan terus dipelihara,” katanya dalam sesi Penggulungan Titah Diraja di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Kamaruddin, tindakan itu selaras dengan prinsip kerajaan Malaysia untuk sentiasa mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan semua negara tanpa mengambil kira ideologi atau sistem pentadbiran mereka.
Malaysia juga, katanya, mengamalkan sikap berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana negara berkuasa besar dunia, selaras dengan prinsip asas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Non-Aligned Movement – NAM) yang Malaysia telah anggotai sejak 1970.
Jelas beliau, dalam mengimbangi Dasar Luar Malaysia dan hubungan dengan negara lain, Kementerian Luar akan terus memastikan hak negara berlandaskan undang-undang domestik dan antarabangsa dihormati dan kerajaan berupaya melindungi kepentingan negara tanpa melibatkan campur tangan kuasa asing.
Mengenai reaksi dan tindakan ASEAN mengenai perkembangan Pakatan AUKUS, Kamaruddin yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, berdasarkan kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Saifuddin Abdullah, kerajaan telah menyuarakan pendirian itu secara konsisten dalam semua mesyuarat ASEAN dan juga antara ASEAN serta rakan Luar ASEAN.
“Malaysia dan negara anggota ASEAN lain komited menegakkan prinsip terkandung dalam SEANWFZ, ZOPFAN dan TAC.
Justeru, kementerian ini kekal komited dan akan terus mengetengahkan pandangan dan pendirian berprinsip Malaysia menerusi platform ASEAN, terutama dalam usaha menangani perkembangan isu politik-keselamatan semasa. – MalaysiaGazette
















