LOS ANGELES – Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan melancarkan aplikasi media sosialnya sendiri, TRUTH Social.
Platform baharu itu, katanya, akan bersaing dengan syarikat teknologi besar (Big Tech) seperti Twitter dan Facebook yang telah melarangnya dari platform mereka.
TRUTH Social akan dibuat melalui syarikat baru yang dibentuk menerusi penggabungan Trump Media and Technology Group (TMTG) dan syarikat pemerolehan khas (SPAC), menurut kenyataan media yang diedarkan oleh kedua-dua organisasi tersebut.
“Saya teruja untuk menghantar ‘kebenaran’ pertama saya di TRUTH Social tidak lama lagi.
“TMTG ditubuhkan dengan misi untuk memberikan suara kepada semua.
“Saya teruja untuk segera mula berkongsi pemikiran saya mengenai TRUTH Social dan melawan Big Tech, ‘katanya.
Twitter, Facebook dan platform media sosial lain melarang Trump daripada perkhidmatan mereka setelah beratus-ratus penyokongnya melakukan rusuhan di Capitol pada 6 Januari lalu.
Tunjuk perasaan berlaku setelah ucapan Trump menyatakan kekalahan pilihan raya pada bulan November lalu disebabkan penipuan meluas, namun dakwaan itu ditolak mahkamah dan pegawai pilihan raya negeri. – Reuters