Ng (tengah) bersama laporan polis yang dibuatnya sambil ditemani Jimmy Puah Wee Tse di Tebrau dekat sini.
JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga di Taman Desa Jaya, di sini, hidup dalam keresahan setelah mereka diugut bunuh oleh ah Long, gara-gara pinjaman wang yang ditawarkan kepada salah seorang kekuarga mereka yang bekerja di Singapura
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ng, 37, berkata, ah long turut menyimbah cat merah di kediaman milik keluarganya di Taman Desa Jaya, di sini, selain menghantar gambar pistol menerusi aplikasi Whatsapp pada 8 Oktober lalu.
Kejadian bermula apabila adiknya yang bekerja di sebuah kilang di Singapura yang terdesak untuk menggunakan wang melayari laman media sosial pada awal September lalu untuk membuat pinjaman.
Jelasnya, walaupun adiknya berubah fikiran untuk tidak membuat pinjaman, namun mereka bertindak untuk melakukan pinjaman sebanyak S$1,000 (RM3,079)
“Biarpun tidak bersetuju dengan pinjaman tersebut, adik saya tetap membuat bayaran penuh beserta bunga. Namun, tidak lama selepas itu mereka memindahkan lagi S$2,000 bersamaan RM6158.38 kepada adik saya tanpa kerelaan.
“Setelah tak tahan berkali-kali diganggu ah long itu, adik bertindak menyekat nombor telefon berkenaan. Kini, kami ahli keluarganya di Johor menjadi sasaran mereka,” katanya pada sidang media di Tebrau, dekat sini, hari ini.
Anak sulung kepada tiga beradik itu berkata, seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Richard Lou memuat naik gambar beliau bersama keluarga dengan menyatakan mereka berhutang dengan ah long.
Peniaga akuarium itu berkata, dia turut menerima mesej berunsur ugutan menerusi aplikasi WhatsApp dari nombor telefon berdaftar di Singapura yang mengugut untuk membakar rumah dan keretanya selain menyimbah cat merah.
“Saya turut menerima mesej WhatsApp dari nombor telefon tempatan yang menghantar gambar pistol selain memberi amaran berhati-hati ketika keluar dari rumah.
“Untuk makluman, saya dan isteri tidak pernah membuat pinjaman dari siapa-siapa pun. Disebabkan bimbang akan keselamatan kami, saya telah membuat laporan polis di balai Setia Indah pada 8 Oktober lalu,” katanya.
Tambahnya, lima hari selepas laporan polis itu dibuat (13 Oktober), dia dihubungi ibunya pada pukul 11.30 malam memberitahu kereta adik bongsunya di Taman Desa Jaya disimbah cat merah.
Katanya, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita menyimbah cat merah itu manakala seorang lelaki menampal notis di pagar rumah dengan perkataan ‘Ini amaran pertama’.
“Saya tidak mempunyai musuh dan tak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak. Saya berharap perkara ini berakhir segera kerana tak tahan lagi hidup dalam ketakutan seperti ini,” katanya yang membuat laporan polis kedua di balai sama pada 14 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse menggesa pihak polis untuk melakukan siasatan secara menyeluruh sebelum kejadian tak diingini berlaku terhadap mangsa tersebut.
“Mana-mana individu yang menjadi mangsa keadaan seperti ini perlu segera membuat laporan polis sebelum keadaan bertambah rumit,” ujarnya. – MalaysiaGazette