Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan kemasukan seramai 32,000 pekerja asing secara pengecualian khas bagi memenuhi peluang pekerjaan dalam sektor perladangan khususnya kelapa sawit.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat jawatankuasa bersama antara KDN dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu telah bersetuju dengan cadangan SOP kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

“Persetujuan ini melibatkan semua sektor yang dibenarkan dengan perladangan adalah pertama untuk menerima kemasukan pekerja asing baru.

“Dalam hal ini, kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan kemasukan seramai 32,000 pekerja asing bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor perladangan kelapa sawit,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Menurut Zainuddin, selain sektor perladangan, kerajaan juga masih meneliti jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi sektor lain, malah kementerian dan agensi berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara itu.

Ini katanya, bagi memastikan kerajaan mempunyai hala tuju strategik dalam mencapai kesimbangan antara ekonomi dan kesihatan ketika negara masih berusaha memerangi pandemik Covid-19.

Mengenai soalan tambahan, beliau tidak menafikan masih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) berada dalam Malaysia dan kenapa tidak menggunakan khidmat mereka untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di semua sektor yang diluluskan.

Katanya, kerajaan yang memperkenalkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang dilaksanakan tahun lalu hingga 31 Disember ini, bilangan permohonan yang diterima sebanyak 212,926 orang.

“Manakala permohonan yang kita terima dari majikan pula sebanyak 11,751. Ketika ini, kita telah membuat ratifikasi mengenai mereka yang memohon ini dan ada beberapa sektor khusus untuk mereka mendaftarkan.

“Contohnya, sektor perkilangan sahaja kita terima sebanyak 65,484 permohonan atau yang mendaftar untuk bekerja semula, sektor pembinaan 122,075, perladangan 7,176 dan pertanian 12,003.

“Semua jumlah ini adalah mereka yang telahpun berdaftar dengan kita dan berminat dengan mana-mana majikan untuk mengambil mereka bekerja semula,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast