NAIROBI – Sekurang-kurangnya 23 orang lemas selepas bas yang dalam perjalanan ke majlis perkahwinan terjunam ke dalam sungai yang dinaiki air di Kenya.

Rakaman video menunjukkan bas itu dihanyutkan selepas pemandu cuba menyeberangi air yang mengalir deras di atas jambatan di Sungai Enziu, kira-kira 200 km (125 batu) di timur Nairobi.

Bas itu telah disewa untuk membawa ahli kumpulan koir gereja.

Empat daripada yang maut adalah kanak-kanak dan sekurang-kurangnya 12 orang telah diselamatkan, menurut laporan media tempatan.

Bagaimanapun, tidak jelas berapa ramai orang yang berada di dalam bas ketika kejadian berlaku.

Difahamkan, pemandu bas itu tidak biasa dengan laluan jambatan di atas sungai di Mwingi yang terletak di daerah Kitui, lapor media Standard.

Gabenor Kitui Charity Ngilu menyifatkan tragedi yang berlaku pada hari Sabtu itu sungguh dahsyat.

Hujan lebat yang luar biasa telah turun di banyak bahagian Kenya baru-baru ini, termasuk di beberapa kawasan yang dilanda kemarau yang mana haiwan ternakan dan liar telah mati kerana kekurangan padang rumput. – BBC