Kebakaran yang berlaku di sebuah penjara di Gitega, Burundi. foto Agensi

NAIROBI – Ramai banduan dikhuatiri maut selepas kebakaran berlaku di penjara utama di Gitega.

Imej yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan, dipercayai dalam kalangan banduan.

Pihak berkuasa Burundi masih belum mengeluarkan sebarang butiran mengenai kejadian itu.

Seorang wartawan dari sebuah agensi media yang terletak berhampiran penjara berkata, anggota bomba memasuki penjara, tetapi sebahagian besar kemudahan itu telah terbakar.

Penjara itu berkapasiti menampung 400 banduan, mempunyai sejumlah 1,539 banduan setakat bulan lalu, menurut Persatuan Kristian Menentang Penyeksaan (ACAT-Burundi).

”Ramai jururawat dari hospital Gitega telah dikerah dan kami melihat mereka memasuki penjara untuk membantu,” katanya kepada BBC.

Seorang banduan yang terselamat daripada kebakaran memberitahu, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 4 pagi waktu tempatan ketika ramai banduan masih tidur.

Punca kebakaran masih belum diketahui.

Pada penghujung Ogos, kerosakan elektrik menyebabkan kebakaran berlaku di penjara ini tetapi tiada kemalangan jiwa direkodkan. – BBC