ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin

IPOH – Seramai 19,708 penerima telah menerima manfaat melalui pelaksanaan Program Kad Perak Prihatin (KPP) sehingga 31 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Kinta muncul daerah tertinggi dengan seramai 4,320 orang manakala Larut, Matang dan Selama masing-masing adalah 2,553 orang.

Menurut beliau, Bagan Datuk pula menjadi daerah terendah dengan penerima seramai 690 orang.

“Program Kad Perak Prihatin ini merupakan satu skim bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan barangan keperluan dan kos perkhidmatan kesihatan di klinik atau pusat perubatan swasta kepada golongan sasar yang melibatkan keluarga berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar.

“Para pemegang kad Program Perak Prihatin layak untuk membeli barangan asas makanan bernilai RM80 sebulan di kedai-kedai runcit atau pasar raya yang berdaftar serta kemudahan mendapatkan rawatan kesihatan sehingga RM300 setahun di klinik-klinik panel terpilih,” katanya ketika sesi soalan lisan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Jurij Jalaludin (BN-Lubuk Merbau) yang ingin mengetahui jumlah penerima bantuan KPP dan Bantuan Skim Tabarruq (BST) mengikut daerah serta adakah kedua-dua bantuan itu akan diteruskan untuk tahun hadapan.

Bagi BST, Wan Norashikin memberitahu, seramai 3,794 peserta telah menyertai  Skim Takaful Tabarru’ Khairat Kematian sehingga September lalu.

Jelas beliau, menerusi Belanjawan Bajet Negeri 2021, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk pelaksanaan program itu.

Ujarnya, setiap waris akan menerima pemberian sebanyak RM500 bagi setiap tuntutan khairat kematian mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

“Kerajaan Negeri sentiasa meneliti dan mengemaskini mekanisme pelaksanaan Program Perak Prihatin dan Program Tabarru’ Khairat Kematian supaya relevan dan sesuai dengan situasi semasa agar dapat membantu rakyat Negeri Perak mendapat akses bantuan yang sewajarnya dan meringankan beban rakyat.

“Bagaimanapun, pelaksanaan program ini pada tahun hadapan adalah tertakluk kepada kewangan yang diperuntukkan,” katanya. – MalaysiaGazette