Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum dakwaan seorang individu yang telah dihalang ketika ingin menyampaikan sumbangan kepada mangsa bajir di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, semasa kejadian, PDRM bersama agensi sahabat seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bertungkus lumus untuk menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa banjir.

“Hanya sebahagian kenderaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan masuk dan kebanyakan kenderaan serta orang awam tidak dibenarkan untuk masuk dan keluar tanpa kebenaran.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memberi laluan kepada lori yang keluar masuk membawa mangsa ke Pusat Penempatan Sementara (PPS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir adalah bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.

“Paras air sungai semakin meningkat pada masa tersebut, dikhuatiri kesesakan di lokasi akan menambahkan lagi kemudaratan kepada semua pihak dan menyukarkan lagi proses untuk menyelamatkan nyawa mangsa.

“Keprihatinan semua NGO dan orang awam amatlah dihargai dalam usaha membantu mangsa banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua pihak mematuhi arahan oleh pihak berkuasa supaya dapat memudahkan proses menyelamatkan mangsa dilaksanakan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah mengambil tindakan segera bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas banjir,” katanya.

Semalam tular di laman Tik Tok seorang pengguna @shahedrian90 yang menyatakan jalan di Taman Sri Muda telah disekat dan tidak dibenarkan bantuan diberikan kepada mangsa.

Sehingga kini, video berdurasi 1 minit 2 saat itu mendapat tanda suka lebih 35,000 orang dengan lebih 3,000 komen. -MalaysiaGazette