Ariel Henry

LONDON – Pemangku Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry terselamat daripada serangan bersenjata yang dilancarkan seorang lelaki bersenjata pistol pada majlis ulang tahun sambutan hari kemerdekaan negara itu, Sabtu lalu.

Insiden berlaku semasa Henry menghadiri majlis tersebut di sebuah gereja di utara bandar Gonaives.

Video yang dimuat naik dalam talian menunjukkan beliau dan pasukan pegawai khasnya sedang menuju ke arah keretanya semasa insiden tersebut berlaku.

Tahap keselamatan di negara berkenaan merosot secara drastik sejak insiden pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada Julai tahun lalu.

Henry mengangkat sumpah dan komited untuk membanteras kumpulan yang dipersalahkan atas beberapa siri penculikan dan merampas kawalan ke atas sebahagian besar pengedaran gas di negara itu yang menyebabkan kekurangan sumber bahan api.

Henry berkata, waran tangkap ke atas penyamun dan pengganas yang memainkan peranan di sebalik cubaan pembunuhan tersebut telah dikeluarkan.

Pejabat Perdana Menteri mendakwa kumpulan itu bersembunyi dan menyerang konvoi dan mengancam paderi dengan mengepung gereja, lapor Associated Press.

Seorang terbunuh manakala dua lagi tercedera dalam pertempuran antara lelaki bersenjata dengan pasukan keselamatan yang berbalas tembakan, menurut media tempatan.

Serangan itu memberi tamparan hebat kepada pentadbiran rapuh yang diketuai Henry yang mengambil alih kuasa dua minggu selepas Moise terbunuh.

Serangan tersebut mungkin membabitkan sekumpulan askar upahan.

Sehingga kini tiada tarikh diumumkan untuk pemilihan presiden baharu. – BBC News