Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kini sedang menjalani kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 ketika menghadiri sebuah majlis makan malam pada Sabtu lalu.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan media memaklumkan, keputusan saringan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Kon Yeow yang dijalankan pada selama dua hari bermula semalam menunjukkan keputusan negatif.

“Justeru, beliau (Kon Yeow) telah diarahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk menjalani kuarantin kendiri selama lima hari bermula semalam.

“JKNPP turut mengarahkan beliau menjalani ujian RT-PCR pada esok,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, selain ketua menteri beberapa individu berkaitan yang turut dikenal pasti sebagai kontak rapat.

“JKNPP juga kini giat menjalankan pengesanan kontak bagi mengelak penularan jangkitan.

“Mereka yang berkaitan akan dihubungi JKNPP dari semasa ke semasa bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 25 Julai lalu, Kon Yeow menjalani kuarantin di rumah selepas seorang pegawai pengiringnya disahkan positif Covid-19. – MalaysiaGazette