KUALA LUMPUR – Elaun alat tulis (EAT) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)sebagai ganti kepada pemberian alat tulis kepada kakitangannya berjaya memberi penjimatan sebanyak sebanyak 67% iaitu RM146,646 setahun.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, projek perintis ini juga merupakan sebahagian daripada usaha MPC ke arah memaksimumkan amalan pengurusan LEAN dalam menghapuskan pembaziran belian alat tulis yang tidak produktif, mengubah ruang simpanan stor kepada ruang kerja baharu.

Kakitangan yang sebelum ini mentadbir urus alat tulis telah dipindahkan ke unit lain yang lebih kritikal.

Menurutnya, arahan bekerja dari rumah oleh Jabatan Perkhidmatan Awam memerlukan MPC menyemak semula keperluan peralatan alat tulis kepada kakitangan.

Mengikut rekod Kadar Pusingan Stok (KPS), pengeluaran alat tulis di semua pejabat MPC termasuk wilayah amat rendah dan di bawah paras standard.

”MPC berjaya melakukan penjimatan operasi melalui pengenalan elaun alat tulis dan pelan transformasi melalui penjimatan kos operasi akan diteruskan dengan melihat kepada peluang-peluang lain seperti mewujudkan elaun komputer di masa akan datang.

”MPC sentiasa terbuka kepada mana-mana organisasi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai transformasi pemberian alat tulis kepada bentuk elaun,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette