KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya mencatatkan penjimatan kos sehingga 93 peratus bagi caj transaksi pembayaran setahun melalui pelaksanaan pembayaran urusan kerajaan melalui perbankan internet Electronic Fund Transfer (EFT) .

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pelaksanaan ini juga adalah selaras dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meningkatkan kecekapan ekonomi melalui transformasi landskap pembayaran di Malaysia melalui EFT agar lebih berkesan dari segi kos, keselamatan, kepantasan serta mudah digunakan disamping dapat mengurangkan kos penggunaan cek.

Bertepatan dengan makluman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar caj pemprosesan cek bermula pada 1 Januari 2021, MPC telah mengorak langkah dengan mendaftar dan memulakan pelaksanaan EFT di ibu pejabat dan pejabat-pejabat Wilayah seluruh Malaysia.

Sebelum menggunakan EFT bank tempatan, kaedah bayaran MPC menggunakan perkhidmatan EFT dari pihak ketiga, cajnya sekitar RM0.60-0.80 bergantung pada transaksi bank pelanggan MPC.

Perkhidmatan EFT oleh bank tempatan sangat menjimatkan.

Kadar caj adalah percuma jika transaksi melibat bank yang sama dan hanya RM0.10 dikenakan pada transaksi bank yang berbeza, katanya.

Hasil daripada perubahan ini, Unit Kewangan MPC telah berjaya mencatatkan penjimatan sebanyak 93% atau bersamaan RM10,624 bagi keseluruhan caj transaksi pembayaran setahun.

Pembayaran secara EFT ini juga telah mempercepatkan proses pembayaran yang boleh dibuat pada bila-bila masa dan MPC boleh mencapai petunjuk prestasi yang ditetapkan oleh kementerian iaitu, bayaran dalam tempoh 7 hari.

Abdul Latif menambah, dalam tempoh sukar, pelanggan sangat menghargai jika agensi kerajaan mampu mempercepatkan bayaran dalam masa yang singkat, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam fasa pasca pandemik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast