Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam jajaran terhad minggu depan memandangkan sentimen pelabur mungkin kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran, dengan indeks utama bergerak dalam julat kecil, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras diunjurkan bergerak dalam julat 1,515 hingga 1,530, dengan rintangan serta-merta pada 1,530 dan sokongan pada 1,500.

“Susulan ketidaktentuan pasaran meningkat semula, kami yakin pasaran serantau dan tempatan akan turut terjejas dan sentimen pelabur kekal bimbang walaupun pembelian semasa harga murah mungkin berlaku,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, CGS-CIMB menjelaskan pelabur akan menumpukan kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2021 Malaysia yang dijadual dikeluarkan minggu depan.

“Pelabur akan meneliti kesan banjir yang berpotensi, tarif elektrik yang lebih tinggi, pelaksanaan harga siling bagi barangan tertentu, peningkatan kos operasi serta cukai makmur ke atas pendapatan korporat,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur kebanyakannya, di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang meningkat di rantau ini, di samping menjejaki pergerakan di Wall Street.

Pasaran didagangkan separuh hari pada Isnin sebelum ditutup pada Selasa dan Rabu susulan cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan dan perayaan Tahun Baharu Cina.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menokok 2.74 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,522.76, daripada 1,520.02 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 58.53 mata kepada 10,959.57, Indeks FBMT100 menambah 35.77 mata kepada 10,642.93, dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 86.22 mata kepada 11,666.81.

FBM 70 meningkat 118.04 mata kepada 13,479.25, dan FBM ACE melonjak 126.71 mata kepada 6,185.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 6.05 mata kepada 15,785.69, Indeks Perladangan merosot 106.25 mata kepada 6,543.86 dan Indeks Tenaga meningkat 48.75 mata kepada 789.94.

Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.89 mata kepada 203.3, Indeks Teknologi menambah 1.11 mata kepada 81.49 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menokok 39.28 mata kepada 2,162.46.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 5.70 bilion unit bernilai RM4.36 bilion daripada 12.23 bilion unit bernilai RM9.18 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 3.80 bilion saham bernilai RM3.78 bilion daripada 7.37 bilion saham bernilai RM7.82 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menguncup kepada 589.12 juta unit bernilai RM200.11 juta daripada 1.17 bilion unit bernilai RM125.24 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 1.31 bilion saham bernilai RM521.37 juta berbanding 3.28 bilion saham bernilai RM1.18 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette