Vaksin penggalak
Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak Covid-19 kepada penerima yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Lembah Klang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2022.- Gambar hiasan.

PADA bulan lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri beri jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah yang menghalang orang ramai untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri pada Mei nanti.

Baru-baru ini. sekali lagi Perdana Menteri ulangi jaminan tersebut, dalam erti kata lain selamatlah kita dari meraikan hatrik menyambut keheningan 1 Syawal hanya di dalam rumah sahaja seperti dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Jaminan terbaru daripada Ismail Sabri itu meredakan hati umat Islam yang khuatir jika kempunan buat kesekalian kalinya berhari raya di kampung halaman apabila melihatkan kes jangkitan Covid-19 kembali meningkat secara mendadak.

Sejak kebelakangan ini, negara kembali semula mencatat lima angka kes jangkitan dengan melangkaui angka 20,000 kes harian.

Pada Rabu misalnya negara mencatatkan bilangan kes tertinggi dalam tempoh lima bulan ini iaitu 27,831 kes. Dari angka tersebut 97 kes (0.35 peratus) adalah ketegori 3,4 dan 5 manakala 27,734 (99.65 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Ditambah pula dengan pelaksanaan Pilihanraya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac hadapan, sejak awal lagi ia menggusarkan banyak pihak mungkinkah akan berlaku gelombang jangkitan yang lebih besar selepas itu.

Ingatan rakyat Malaysia masih jelas dek kerana PRN Sabah, ia merupakan antara punca utama yang menyebabkan umat Islam menempuh Ramadan dan Aidilfitri buat kali keduanya di rumah sahaja pada tahun lalu.

Saranan terkini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah untuk orang ramai mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 khususnya umat Islam sebagai satu daripada ikhtiar untuk membendung jangkitan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti wajar dimasukkan dalam senarai to do sebelum Ramadan tiba.

Selepas lebih dua tahun hidup dalam pandemik Covid-19, sudah tiba masanya kita menerima hakikat untuk mengadaptasi diri untuk hidup bersama Covid-19 dan tidak lagi perlu terlalu panik apabila adakalanya angka jangkitan meningkat kembali seperti semasa.

Apa yang perlu dilakukan ialah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menjaga diri daripada dijangkiti atau menyebarkan pula virus tersebut.

Menurut Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed, rakyat tidak perlu terlalu panik kecuali kembali peka kepada virus tersebut yang meningkat semula kebelakangan ini.

Menurut beliau lagi yang perlu rakyat lakukan adalah pematuhan berterusan terhadap SOP bagi memastikan Covid-19 tidak bertambah buruk sebaliknya terus dikawal dari semasa ke semasa.

“Bagi golongan yang telah divaksin mereka dilindungi daripada mendapat jangkitan yang teruk, tetapi mereka masih boleh menjadi pembawa dan menyebabkan jangkitan yang teruk kepada golongan yang tidak divaksin contohnya bayi dan kanak-kanak. Sebab itulah mesti terus jaga SOP tetapi tak perlu panik,” jelasnya.

Ketika sudah ada beberapa negara yang sudah mengisytiharkan ‘keluar’ dari pandemik Covid-19, bagi penulis Malaysia tidak perlu terburu-buru mengikut langkah tersebut bagi mengelakkan yang di kejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.- MalaysiaGazette

Mohd Zaini Othman

Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).