Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran kecewa dengan tindak tanduk segelinitir pemimpin politik kawasan Batu yang didakwa tidak melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan sebaliknya gemar ambil ‘nama’ atas usaha orang lain.

Dakwa Prabakaran, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan itu dipimpin oleh pemimpin UMNO tidak banyak berbakti kepada masyarakat setempat tetapi lebih suka menunjuk dan bercakap kosong.

”Contohnya, Pengerusi MPP baru-baru ini letak posting dalam laman Facebook kononnya pihaknya telah menyelesaikan isu penduduk setempat. Yang sebenarnya lakukan usaha-usaha itu adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan saya. Tetapi kredit mereka ambil?

”Mengapa tidak malu dengan perbuatan kamu buat seperti ini? Selama ini saya hanya diam sahaja tapi hari ini saya panas hati dan tidak tahan dengan kerenah mereka ini.

”Masyarakat dan penduduk setempat perlukan bantuan tetapi kamu sibuk curi kredit dan usaha pihak lain. Cukuplah,” katanya sebentar tadi.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan penduduk Taman Wahyu yang mohon perhatian kerajaan untuk segera membuka jalan pintas di Jalan Sibu 1 yang sentiasa sesak dan menyulitkan penduduk sejak sekian lama.

Kata Prabakaran lagi, sepatutnya isu penduduk di Taman Wahyu ini selesai apatah lagi pimpinan dalam MPP ini diketuai oleh ahli UMNO.

”Kementerian Wilayah sudah lantik badan tertentu untuk bantu kes-kes penduduk setempat seperti MPP ini. MPP ini dalam kalangan UMNO jadi saya buntu mengapa mereka tidak boleh bantu penduduk Taman Wahyu ini.

”Kali terakhir saya datang sini sekitar enam bulan lepas, ketika itu jalan masih elok lagi. Sekarang jalan pintasan sudah penuh semak samun, rumput panjang. Bila saya tanya apa-apa perkembangan, tidak ada jawapan.

”Apabila penduduk tanya MPP, asyik jawab tunda pembukaan jalan pintas. Sampai bila hendak ‘postpone’? Tolonglah buat dengan segera, populasi di sini mencecah lebih 100,000. Untuk mereka, jalan masuk ke sini adalah Jalan Kuching, jalan keluar ada dua.

”Bila Jalan Kuching sesak, ramai guna Jalan Batu 5 sebagai jalan pintas menghala ke Jalan Duta. Oleh kerana itu, penduduk sini pula semakin sesak keluar taman sehingga boleh cecah 30 minit. Tolong fikir derita penduduk di sini,” katanya.

Prabakaran mendakwa dia menerima panggilan penduduk setiap hari berhubung masalah ini.

“Ada yang mengadu, ada yang marah, ada yang hendak gaduh sehingga saya juga tertekan sebenarnya. Jika hendak buat kerja, buatlah betul-betul capai KPI anda,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast