KUALA LUMPUR – Dua ‘awang import’, Bergson Da Silva dan Fernando Martin Forestieri masing-masing menyumbat dua gol bagi membantu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan permulaan sempurna bagi musim 2022 selepas membelasah Sarawak United, 6-0, malam ini.

Aksi kedua liga berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan JDT bermula cemerlang apabila bola tolakan pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor menemui penyerang Argentina, Forestieri yang tenang melepaskan sepakan leret dari sebelah kiri padang untuk meletakkan pasukan ‘Harimau Selatan’ itu di depan 1-0 pada minit ke-15.

Bergson kemudian menambah jaringan untuk skuad kendalian Benjamin Mora apabila sepakan volinya menerjah masuk gawang ‘Bujang Senang’, berpunca daripada hantaran cantik pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-39, sekali gus memberikan mereka kelebihan dua gol tanpa balas menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, JDT yang memanfaatkan kesempatan dengan kelebihan seorang pemain  di atas padang selepas pemain pertahanan, Raja Imran Shah Raja Amin diperintah keluar padang selepas mengasari pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-60, terus berpesta gol apabila Bergson  meledak gol kedua menerusi sepakan dari jarak dekat pada minit ke-62.

Sembilan minit kemudian, pintu gol Sarawak terus bocor menerusi tandukan pertahanan import, Carli De Murga hasil sepakan sudut Arif Aiman diikuti jaringan Muhammad Safawi yang menolak masuk gol kelima JDT pada minit ke-80 sebelum Forestieri menutup malam indah buat pasukannya selepas meledak gol kedua peribadi pada minit-84, sekali gus memastikan pasukannya gah di persada liga dengan enam mata. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast