KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang melaksanakan Program Pembangunan Bakat, yang antara lainnya bertujuan untuk meningkatkan prestasi pencapaian pendidikan negara dengan menambah baik nilai purata tahun persekolahan.

Program pembangunan bakat yang meliputi dua program utama iaitu Academy in Factory (AiF) dan Sijil Perakuan Organisasi Kemakmuran Bersama Secara Atas Talian atau eSPO.

Menurut MPC, AiF bertujuan menangani masalah kekurangan pekerja terutamanya dalam sektor pembuatan.

Dalam jangka masa panjang, AiF dapat menyumbang kepada peningkatan purata tahun persekolahan melalui pengiktirafan yang sewajarnya terhadap pendidikan berasaskan kerja, sekali gus membina tenaga kerja berkemahiran mampan yang dapat memenuhi keperluan industri dan permintaan pasaran kerja.

”Dalam menggalakkan skim upah dan pampasan pekerja yang saksama berasaskan produktiviti, kemahiran dan prestasi pekerja, program Sijil Perakuan eSPO diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan kepada organisasi dan perniagaan yang mengamalkan elemen-elemen Sistem Upah Yang Dikaitkan

”Dengan Produktiviti atau PLWS. Sehingga akhir tahun 2021, lebih 20,000 syarikat telah menerima pengiktirafan sebagai organisasi kemakmuran bersama yang mengamalkan penciptaan dan pengagihan kekayaan bersama antara majikan dan pekerja. Kemahiran pekerja merupakan salah satu syarat penting untuk mendapatkan Sijil Perakuan eSPO ini,” katanya.

Laporan Daya Saing Global 2019 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-59 dengan nilai 10.2 tahun bagi indikator Purata Tahun Persekolahan dari kalangan 141 negara.

Kedudukan ini merupakan penurunan 10 mata dari tahun 2018 yang mana Malaysia berada pada kedudukan ke-49.

Malaysia dilihat ketinggalan apabila dibandingkan dengan negara Singapura yang berada di kedudukan ke-32 dengan nilai 11.9 tahun manakala negara maju seperti United Kingdom dan Jerman mencatatkan nilai Purata Tahun Persekolahan yang tinggi masing-masing pada nilai 13.2 tahun dan 14.1 tahun.

Kedudukan Malaysia dalam indikator purata tahun persekolahan menggambarkan kekurangan kemahiran di kalangan pekerja yang menyebabkan sumbangan gaji yang rendah oleh majikan.

Dalam maklum balas berkaitan kenyataan mengenai majikan di Malaysia yang disifatkan paling kedekut di Asia Tenggara dari segi bayaran upah, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif bin Haji Abu Seman berkata, data peringkat nasional dan antarabangsa menunjukkan hubung kait rapat antara bakat berkemahiran dengan produktiviti dan upah serta pampasan pekerja.

Laporan World Competitiveness Yearbook (WCY) oleh Institute of Management Development (IMD) menunjukkan kedudukan Malaysia di tangga ke-25 untuk petunjuk Tenaga Buruh Mahir yang menyumbang kepada kedudukan global yang agak rendah bagi petunjuk berkaitan produktiviti pada tempat ke-33 dari kalangan 64 ekonomi dunia.

”Kita bandingkan dengan Singapura yang berada di kedudukan ke-20 bagi petunjuk Tenaga Buruh Mahir dan tempat ke-14 untuk indikator Produktiviti. Data Laporan WCY ini menunjukkan hubungkait jelas antara peningkatan tenaga kerja mahir dan produktiviti pekerja dengan agihan gaji pekerja yang mana kita sedia maklum bahawa purata gaji tahunan di Singapura adalah jauh lebih tinggi dari Malaysia.

”Peningkatan kemahiran pekerja diikuti oleh peningkatan upah dan gaji serta diterjemahkan kepada pertumbuhan produktiviti yang pesat,” ujarnya.

Abdul Latif berkata, dalam menggalakkan skim upah dan pampasan pekerja yang saksama berasaskan produktiviti, kemahiran, dan prestasi pekerja, program Sijil Perakuan eSPO diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan kepada organisasi dan perniagaan yang mengamalkan elemen-elemen Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti atau PLWS.

Sehingga akhir tahun 2021, lebih 20,000 syarikat telah menerima pengiktirafan sebagai organisasi kemakmuran bersama yang mengamalkan penciptaan dan pengagihan kekayaan bersama antara majikan dan pekerja dan kemahiran pekerja merupakan salah satu syarat penting untuk mendapatkan Sijil Perakuan eSPO ini.

”Pengiktirafan yang diterima melalui Sijil Perakuan eSPO memberi nilai tambah kepada syarikat sebagai organisasi pilihan pekerja yang memberi gaji yang wajar dan saksama, oleh itu MPC menggesa lebih banyak syarikat mendapatkan Sijil ini melalui laman sesawang http://www.mpc.gov.my/espo/. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast