Dato' Zahida Zarik Khan hadir pada Persidangan Pewakilan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

KUALA LUMPUR – Pas dianggap sebagai sebuah parti yang lebih rela ‘memeluk katak dan mandi di kolam yang penuh kala jengking’ berbanding bersama-sama membentuk  Muafakat Nasional (MN).

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini pun, Pas dilihat sudah membuat pilihan mereka.

“Kalau begitu, apa nak buat. Apa yang boleh kita beritahu, ‘si luncai, terjunlah dengan labu-labunya’.

“Sayonara Pas, selamat tinggal, bye-bye, goodbye Pas. Semoga bahagialah kamu dengan pasangan hidup mu di kalangan katak dan jengking tadi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini.

Mengulas lanjut, Zahida berkata, menerusi PRN Melaka dan Johor, UMNO sanggup pergi secara solo tanpa Pas.

Walaupun ia dilihat sebagai sebuah percaturan yang penuh risiko namun parti itu boleh berdiri tegak dan gagah tanpa Pas.

“Episod yang lalu mengajak kita mengenal siapa kawan dan siapa lawan. Kita amat mengharapkan MN yang sama-sama kita wujudkan di bangunan yang bersejarah ini mekar dan subur.

“Ia adalah cetusan semangat perpaduan ummah yang dirindui oleh semua ummat Melayu dan Islam di negara ini,namun panas ini tak berpanjangan, hujan di tengahari, sia-sia air mata yang mengalir membanjiri WTC,” katanya.

Jelas Zahida, Pas dilihat lebih selesa bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding MN menerusi kedua-dua PRN itu.

Katanya, tiada istilah poligami dalam politik dan parti itu perlu memilih satu di antara dua pilihan.

“Bersatu adalah parti picisan UMNO, picisan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan mereka sendiri ada sejarah pengkhianatan di kalangan mereka.

“Mereka bukan taste kami. Kita berkali-kali beritahu Pas, kalau mahu Bersatu, bersatulah kamu. Kalau mahu kami, ayuh, mari bersama kami tinggalkan Bersatu.

“Gelilah kami tinggal sekolam dengan katak puru, katak pisang atau katak betong. Sejarah mereka mengkhianati kami amat menjijikan.

“Kalau dah memang tabiat haruan makan anak selepas ini mereka akan makan anak lagi. Kalau jengking yang tabiatnya menyengat mereka akan menyengat sesiapa pun yang boleh disengat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast