Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diiringi Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad (kanan) melakukan gimik pelancaran Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Maktab Penjara Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2022.

KAJANG – Kira-kira 10,000 banduan yang layak menjalani Program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni dijadikan alternatif bagi menangani masalah kesesakan dalam penjara.

Selain itu, sebahagian besar daripada mereka juga akan diserapkan menjalankan tugas yang dahulunya dikuasai warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia merupakan sebahagian daripada insiatif kerajaan yang memberi perhatian terhadap banduan yang layak menjalani hukuman pemulihan dalam komuniti.

Manakala daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 80 peratus penghuninya akan ditempatkan di dalam sektor perindustrian.

“Kira-kira 80 peratus daripadanya akan dilibatkan dalam industri dan seterusnya diyakini dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Penjara Malaysia ke-232 di Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Tambah Hamzah, melalui program berkenaan, kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun.

Kementeriannya amat yakin sasaran berkenaan akan dapat dicapai berdasarkan kepada pencapaian melebihi 7,000 banduan menjalani Pemulihan Dalam Komuniti pada 2021.

“Melalui peluang yang diberikan di dalam komuniti didapati 99.63 peratus daripada mereka telah berjaya dan tidak lagi mengulangi kesilapan serta kembali semula ke penjara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hamzah bagaimanapun menegaskan, kementeriannya tetap komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan terus diutamakan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, kerajaan juga akan terus meningkatkan keupayaan sumber manusia Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan sistem penyampaian Kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, sebanyak 347 pegawai dan anggota penjara perjawatan baharu telah diluluskan bagi meningkatkan keupayaan Jabatan dalam melaksanakan Pemulihan Dalam Komuniti.

“Jabatan Penjara Malaysia juga akan memperluaskan Pejabat Parol Daerah kepada 100 berbanding 52 pada masa ini yang akan membantu meningkatkan lagi keupayaan Jabatan memperluaskan program- program pemulihan kepada banduan di seluruh negara.

“Syabas Jabatan Penjara Malaysia atas segala usaha dan inisiatif yang telah dicapai setakat ini dalam mencapai 2/3 penghuni penjara akan menjalani program pemulihan dalam komuniti menjelang 2030,” ujarnya lagi.

Selain itu, katanya, kerajaan juga sentiasa serius memberi keperihatinan terhadap kesesakan penghuni di penjara yang berlaku di negara ini dengan pelbagai kaedah untuk menanganinya.

Terbaharu terdapat pengurangan statistik penghuni penjara, iaitu sehingga 21 Mac 2022, penjara di seluruh negara dipenuhi 70,570 penghuni yang terdiri daripada 56,068 banduan di 39 penjara seluruh negara  manakala yang lain di Pusat Pemulihan dan 10 Penjara Satelit dan sekolah Henry Gurney sedangkan kapasiti sebenarnya hanya mampu menampung lebih kurang seramai 63,000 penghuni sahaja.

Namun sepanjang pandemik, angka banduan cecah 65,000 orang tetapi sekarang ia berjaya dikurangkan kepada 56,068 banduan hasil kesungguhan dan inisiatif kerajaan menerusi program pemulihan yang dilakukan.

Dalam pada itu katanya, KDN komited untuk melaksanakan alternatif hukuman pemenjaraan dan telah membentangkan Rang Undang-Undang Perintah Kehadiran Wajib [Pindaan] 2021 bacaan kali pertama pada Disember 2021 dan dijangka diluluskan dalam sesi persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Menurut Hamzah, ia akan membolehkan mahkamah memerintahkan hukuman alternatif pemenjaraan terhadap pesalah dengan mengambilkira kesalahan pesalah.

Sebagai contoh kesalahan kali pertama dan hukuman tiga tahun ke bawah atau mana-mana kesalahan yang layak bagi tempoh maksima 12 bulan sementara kesalahan serius dan berat akan dikekalkan hukumannya.

“Pesalah ini bukan sahaja boleh dipulihkan melalui kerjasama Kerajaan dan komuniti, malah pesalah ini juga mampu untuk meneruskan kehidupan dan pada masa yang sama menjalani hukuman dalam komuniti yang akan diselia oleh pegawai Jabatan Penjara Malaysia.

“Berdasarkan statistik, sejak 2010 sehingga kini seramai 6,744 pesalah telah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan kadar pematuhan melebihi 96 peratus,” tegas Hamzah.- MalaysiaGazette