Anggota polis membawa seorang pengawal keselamatan yang merupakan suspek utama kes bunuh dan bakar seorang wanita di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak pada 12 Mac lalu tiba di mahkamah untuk didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan sekolah telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan membakar seorang wanita yang juga penyelia kedai buku di sebuah sekolah menengah dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhamad Yusri Latiff, 35, yang hanya mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhannya.

Kertas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tertuduh yang menetap di Pangsapuri Sri Penara Bandar Sri Permaisuri itun berpakaian baju T warna kuning dibawa dengan tangan bergari di belakang ke mahkamah pukul 10.20 pagi tadi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh berkenaan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 12 Mac lalu antara pukul 1.45 hingga 5.30 petang telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Fong Hsu Kei yang berusia 25 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bertempat di Bengkel Pertanian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Jalan Budiman, 19 Taman Mulia di Bandar Tun Razak.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Pada Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 34 tahun itu disambung reman selama enam hari sehingga Jumaat ini.

Katanya, polis sudah merakam keterangan seramai 37 individu untuk membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

Pada 13 Mac lalu, mayat penyelia kedai buku itu ditemui rentung dalam kebakaran di bengkel pertanian kemahiran hidup selepas menerima laporan kejadian kira-kira pukul 6.04 petang.

Sehari selepas kejadian itu, polis telah menahan tertuduh yang bekerja di sekolah sama untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya suspek yang masih bujang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan cabul dan samun. – MalaysiaGazette