KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila membelasah kelab China, Guangzhou FC 5-0 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Kemenangan itu meletakkan skuad Benjamin Mora mendahului Kumpulan I selepas aksi Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale berkesudahan seri 1-1 pada aksi petang semalam.
Skuad Harimau Selatan yang menguasai permainan sebaik babak pertama bermula menunjukkan kesungguhan memburu kemenangan apabila Bergson Da Silva cuba menguji penjaga gol, Guangzhou FC, He Lipan pada minit kelapan menerusi bola rembatan jarak 30 meter.
Serangan bertali arus skuad JDT membuahkan hasil pada minit ke-10 selepas bola sepakan lintang Shane Lowry di posisi sayap kiri menyaksikan Bergson yang tidak dikawal, melonjak tinggi untuk menewaskan Lipan.
Tuan rumah terus mengganas pada minit ke-13 apabila percubaan Fernando Forestieri selepas menerima bola umpanan Bergson, merembat kencang walaupun pada awalnya di tampan Lipan tapi usaha penjaga gol itu menangkap semula bola gagal sebaliknya tertolak bola masuk ke gawang sendiri.
Bergson menambah derita skuad bimbingan Pan Yong He apabila mencetak gol kedua pada minit ke-27 berpunca daripada bola lorongan Afiq Fazail yang membolehkan pemain import dari Brazil itu memperdaya benteng pelawat sebelum merembat bola tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Lipan.
Bersambung babak kedua, anak didik Mora terus menggandakan asakan dengan memberi tekanan terhadap benteng Guangzhou FC dan usaha itu membuahkan hasil apabila Bergson mencatat hatrik pada minit ke-55 apabila tandukannya menewaskan Lipan, berpunca daripada bola sepakan lintang Corbin Ong.
Guangzhou FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke 68 selepas Guan Haojin dilayangkan kad merah pengadli, Mohammed Khled S Al Hoish kerana mengasari Bergson.
Pemain gantian Ramadan Saifullah turut mencetak nama selalu penjaring pada minit ke-81 selepas bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan bingkas melencongkan bola memperdayakan Lipan untuk memastikan kemenangan 5-0 memihak JDT. – MalaysiaGazette