Bendera Palestin berkibar di Masjid Al-Aqsa walaupun diserang tentera rejim Israel. Foto ihsan Nadir Al-Nuri. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan biadab tentera rejim Israel terhadap orang awam dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa.

Malaysia yang melabelkan tindakan itu satu penindasan sistematik oleh kuasa penjajah Israel sebagai jenayah apartheid, menyeru masyarakat antarabangsa memperbaharui komitmen bagi mencari penyelesaian berkekalan kepada konflik Israel-Palestin.

Menurut Wisma Putra, Malaysia tegas memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan tujuan mereka untuk mencapai kebebasan daripada penjajahan haram Israel.

Di samping itu, katanya, mereka mahu merealisasikan aspirasi untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

“Negara-negara anggota OIC telah menyuarakan secara jelas sokongan padu mereka terhadap nasib rakyat Palestin.

“Selain mengutuk pencerobohan itu pada bulan Ramadan, Malaysia menekankan keperluan untuk memelihara ‘status quo’ sejarah serta undang-undang di Masjid Al-Aqsa,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Menurut Wisma Putra, Malaysia juga menggesa tindakan segera menamatkan pencabulan Israel terhadap tapak suci Islam dan OIC perlu memastikan konflik Palestin-Israel kekal tinggi dalam agenda global.

Kata kenyataan itu lagi, Malaysia telah menyertai Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat perwakilan tetap untuk membincangkan pencerobohan berterusan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa pada 25 April lalu, di Jeddah, Arab Saudi.

Mesyuarat dipengerusikan Arab Saudi atas kapasitinya sebagai Pengerusi OIC dan dihadiri Setiausaha Agung OIC serta negara anggota OIC yang lain.

OIC kata Wisma Putra, telah menerima pakai satu kenyataan akhir sebagai hasil mesyuarat tersebut.

Dokumen itu antara lain mengulangi kepentingan perjuangan Palestin untuk seluruh umat Islam dan menyeru supaya langkah berkesan serta penyelarasan dipergiatkan lagi oleh masyarakat antarabangsa bagi menangani konflik tersebut.

Malaysia juga menyeru semua negara anggota OIC dan kumpulan Islam agar berusaha di forum antarabangsa bagi menyediakan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin. – MalaysiaGazette